TINDAKAN seorang wanita cuba menceroboh masuk Istana Negara, Jakarta, Indonesia dengan membawa sepucuk pistol mengundang padah selepas dia ditahan polis pada Selasa.
Difahamkan, polis turut menemukan beberapa barangan seperti kitab suci al-Quran dan dompet kosong dalam beg tangan wanita berusia 25 tahun tersebut.
Menurut laporan Detiknews, kejadian itu berlaku di pintu masuk utama Istana Negara, Jakarta, Indonesia ketika anggota polis sedang melakukan rutin harian.
Sepucuk pistol jenis FN yang dibawa suspek.
"Wanita terbabit kemudiannya menghampiri seorang anggota polis sebelum mengacu sepucuk pistol jenis FN.
"Anggota polis bertindak pantas dengan merampas pistol berkenaan dan menahan wanita terbabit untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambah Detiknews, identiti wanita terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.
"Polis akan menyiasat punca kejadian dan setakat ini, wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut," jelasnya.
Dalam pada itu, netizen turut mempertikaikan tindakan wanita terbabit yang membawa senjata api ke kawasan tersebut.
"Kelihatan seperti seorang ekstremis dan mempunyai agenda tertentu. Harap polis dapat mengetahui punca wanita tersebut berbuat demikian," jelas Siriyanto.
"Bahayanya, nasib baik polis bertindak pantas merampas dan menahan wanita terbabit. Risau ada individu tak bersalah menjadi mangsa," kata Yanti.
"Mungkin dia menerima arahan daripada seseorang untuk melakukan perkara tersebut," luah Krisyani.
"Nasib baik tiada tembakan dilepaskan. Bagaimana dia boleh mendapatkan senjata tersebut?," soal Agus.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram