[VIDEO] Prank budak ala filem seram ‘Scream’, cikgu tadika disabit kesalahan dera


  • Benua
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Seorang pekerja memakai topeng daripada filem 'Scream' sebelum menyakat kanak-kanak di pusat asuhan terbabit. — Agensi

SERAMAI lima pekerja pusat jagaan kanak-kanak dihadapkan tuduhan penderaan kanak-kanak selepas sebuah video tular di media sosial memaparkan mereka menyakat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak baru-baru ini.

Video tersebut dirakam di Pusat Asuhan dan Pembelajaran Kanak-Kanak Lil’ Blessings di Monroe County, Mississippi, Amerika Syarikat.

Dalam video tersebut, kedengaran jeritan kanak-kanak sambil mereka diterjah individu dewasa yang memakai topeng daripada francais filem Scream.

Berikutan insiden tersebut, Misty Shyenne Mills, 28, Sierra McCandless, 21 dan Oci-Anna Kilburn, 28 masing-masing berdepan tiga pertuduhan penderaan kanak-kanak.

Turut didakwa ialah perakam video, Jennifer Newman, 25, namun dia menjelaskan bahawa rakaman tersebut merupakan bukti yang ingin dia sebarkan untuk pengetahuan ibu bapa.

"Saya merakam untuk mendapatkan bukti, dan kemudian video itu dihantar kepada ibu bapa untuk menunjukkan kepada mereka bagaimana anak mereka dilayan di pusat asuhan tersebut.

"Saya tidak merakam video ini untuk bergelak ketawa. Situasi kanak-kanak menjerit ketakutan seperti itu tidak kelakar bagi saya," katanya.

Seorang lagi wanita, Traci Hutson, menghadapi tuduhan bersubahat kerana gagal melaporkan kes penderaan tersebut.

Pemilik pusat asuhan tersebut, Sheila Sanders menjelaskan bahawa dia tidak menyedari tingkah laku pekerja-pekerjanya itu dan kesemua terlibat telah dipecat.

"Saya tidak berada di pusat asuhan pada masa itu dan tidak menyedari mereka melakukan perkara itu. Mereka semua dipecat," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram