SYARIKAT tenaga kebangsaan Ukraine menggesa rakyat untuk mengecas segala alat elektronik susulan bekalan elektrik dijangka terputus akibat serangan peluru berpandu Rusia.
Loji tenaga Ukraine sekali lagi diserang peluru berpandu Rusia sejak 10 Oktober lalu dan telah mengakibatkan gangguan selama empat jam dalam satu-satu masa serta dikhuatiri akan menjejaskan bekalan ke seluruh negara.
Serangan tersebut berlaku selepas Rusia mengisytiharkan undang-undang tentera di kawasan tanah Ukraine apabila mendakwa wilayah Kherson dan Zaporizhzhia di selatan dan Donetsk dan Luhansk di timur merupakan sebahagian daripada tanah mereka.
Rusia juga menguatkuasakan dan meningkatkan langkah keselamatan di sepanjang kawasan sempadan Ukraine.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, tiga kemudahan sumber tenaga telah dimusnahkan dan pihak syarikat sedang bersedia untuk segala kemungkinan semasa musim sejuk.
Sebagai persediaan, syarikat tenaga elektrik Ukraine, Ukrenergo memohon agar rakyat Ukraine menyimpan bekalan air dan memastikan mereka mempunyai stokin dan selimut bagi mengekalkan kehangatan sepanjang ketiadaan elektrik.
Ukrenergo akan menjalankan sekatan penggunaan tenaga dan memberi amaran penutupan elektrik mungkin berlaku di seluruh Ukraine dari pukul 7 pagi sehingga 10 malam.
Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen turut mengutuk serangan tentera Rusia dengan mengatakan ia satu jenayah perang.
"Serangan Rusia terhadap infrastruktur awam, terutamanya elektrik, merupakan jenayah perang.
"Mengancam keselamatan penduduk dan kanak-kanak serta gangguan elektrik di musim sejuk adalah satu keganasan yang sangat teruk," katanya.
Difahamkan, kini Rusia sedang memindahkan puluhan ribu orang awam dan pegawai untuk keluar dari wilayah Kherson susulan tentera Ukraine dikatakan sedang menghampiri ibu kota wilayah tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram