[VIDEO] Tragedi pulang mengaji, budak perempuan maut ditikam individu misteri


  • Benua
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Rakaman CCTV itu juga menunjukkan Shakila sempat berjalan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

HASRAT seorang kanak-kanak untuk pulang ke rumah setelah mengaji berakhir dengan tragedi apabila maut ditikam di Kota Cimahi, Indonesia pada Khamis.

Mangsa yang dikenali sebagai Shakila berusia 12 tahun, disahkan meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6 petang itu.

Detik-detik sebelum dan selepas mangsa ditikam sempat dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan mangsa berpisah dengan kawannya di satu simpang.

Menurut Ketua Rukun Tetangga (RT), Aip Sunarya, mangsa dikatakan pulang ke rumah seperti biasa.

Namun katanya, mangsa diekori seorang individu tidak dikenali yang kemudiannya bertindak mengeluarkan senjata tajam dan menusuk bahagian punggung kanan mangsa.

Rakaman CCTV itu juga menunjukkan Shakila sempat berjalan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan difahamkan pelaku melarikan diri selepas menikam mangsa.

Bagaimanapun, mangsa tidak sempat pulang ke rumah selepas ditemukan terbaring di tepi jalan berhampiran rumahnya.

Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman yang dalam dan kehilangan banyak darah.

Menurut Ketua Perhubungan Awam, Ibrahim Tompo, motif kejadian masih tidak diketahui dan pelaku sedang diburu oleh pihak polis.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram