SATU rakaman audio dipercayai dirakam oleh penjaga kanak-kanak memperdengarkan suara seorang guru wanita sedang mengajar dan memarahi murid Tahun Satu kini tular sejak Jumaat malam.
Rakaman itu dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @sapikhaa, menjelaskan dia berasa tidak puas hati terhadap cara pengajaran guru terbabit yang terlalu kasar dan meninggikan suara terhadap pelajar Darjah Satu.
Luahnya, apa yang dilakukan guru tersebut tidak mempamerkan sikap profesional atau pendekatan terbaik sebagai tenaga pengajar.
“Walaupun anak buah (anak saudara) I (saya) masih dalam beginner (permulaan) level (peringkat) untuk subjek yang diajar cikgu ini.
“I rasa tak patut dia dimalukan, ditengking, degraded (dihina) di depan kawan-kawan dalam class (kelas).
“Dari bebel benda tak perlu lebih baik cikgu ni pergi approach (mendekati) pelajar, terangkan sampai dia faham. Kan guru ada belajar pelbagai cara mengajar untuk different (berbeza) competency levels (tahap kecekapan) dalam kelas yang bercampur aduk kemahirannya,” katanya di media sosial.
Mendengar semula audio tersebut, tidak dinafikan guru terbabit meninggikan suara seakan memarahi pelajar dengan mengatakan: "Letihlah macam ni. Otak tu biar cergas sikit boleh tak? Berfikir sikit. Tunggu apa lagi, cepat, tengok, tengok, tengok lagi. Apa yang dia tengoknya, terkebil-kebil, jawapan dah ada depan mata.”
Rakaman audio dipercayai guru yang sedang mengajar pelajarnya.
Perkara tersebut secara tidak langsung membuatkan pengguna media sosial lain turut berasa rasa geram dan marah atas tindakan guru berkenaan.
“Report (adukan) terus ke pengetua. Jangan biarkan, siap mengeluh ini kira teruklah,” kata Opat7449.
“Makin hari makin risau nak hantar anak sekolah kalau macam ini. Anak saya low self confident (kurang percaya diri) baru lima tahun. Macam-macam sudah buat tetapi sama juga. Risau dapat cikgu macam ini,” kata Alie_za_rose.
“Adik aku kena tengking denan cikgu sebab buku je. Buku tu aku cari semua kedai tiada stok lepastu cikgu boleh cakap dekat adik aku macam ini, mak bapak tak dek duit ke?,” kata Hamba ALLAH.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan berhubung isu tular tersebut setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram