Marah salah 'order' nasi beriani, lelaki terbakar kaki sendiri


  • Benua
  • Selasa, 18 Okt 2022

Tangkap layar aksi seorang lelaki yang menyimbah minyak petrol di hadapan sebuah restoran.

SEORANG lelaki bertindak membakar sebuah restoran milik warga Bangladesh selepas mendakwa menerima menu hidangan salah.

Dalam kejadian pada 1 Oktober lalu, Choephel Norbu, 49, memesan hidangan ayam di Restoran Ittadi Garden and Grill di Jackson Heights, Queens, dekat New York, Amerika Syarikat (AS).

Seorang pelayan restoran itu, Jahana Rahman berkata, lelaki berkenaan, Norbu yang didakwa mabuk pada mulanya memesan nasi beriani ayam.

Ketika pesanan itu dihantar kepadanya, Norbu tidak semena-mena menjerkah salah seorang pekerja restoran tersebut.

"Dia kemudian dilihat melempar hidangan itu ke atas muka pekerja itu dan mendakwa dia mendapat hidangan salah.

"Kami tidak tahu mengapa dia berbuat demikian. Ini memang tidak masuk akal," katanya.

Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), suspek yang masih tidak berpuas hati kemudian kembali ke restoran itu pada kira-kira pukul 6 pagi dengan membawa sebotol minyak petrol.

Dia kemudian dilihat menyimbah minyak tersebut pada pintu hadapan premis itu dan menyalakan api.

Namun, ketika api mulai marak, kakinya turut terbakar akibat perbuatannya sendiri.

Suspek kemudian dilihat pergi dengan api yang masih menyala di kakinya.

Kebakaran itu turut menyebabkan tingkap dan unit penghawa dingin restoran itu rosak, mengakibatkan kerugian lebih AS$1,500 (RM7,071).

Sementara itu, pihak berkuasa yang berang dengan tindakan lelaki itu berkata, mereka menghabiskan masa selama hampir dua minggu untuk menjejaki dan menangkapnya.

Namun, mereka hampa apabila lelaki itu dibebaskan tanpa sebarang ikat jamin oleh mahkamah.

Selepas ditahan pada 14 Oktober, suspek dibebaskan namun masih dalam pengawasan pihak berkuasa.

Suspek tidak diikat jamin dan tidak juga mempunyai rekod jenayah terdahulu.

Dia dijadual dibicarakan semula oleh mahkamah pada Selasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram