[VIDEO] Geng 4 jahanam sakan menyamun guna parang di Kapar diburu polis


  • Tular
  • Selasa, 18 Okt 2022

Rakaman CCTV di rumah mangsa menunjukkan empat suspek bersenjatakan parang.

SEORANG surirumah berdepan dengan detik mencemaskan selepas rumahnya disamun empat orang lelaki bersenjatakan parang pada Isnin.

Kejadian itu berlaku di salah sebuah taman perumahan di Kapar, Klang, Selangor kira-kira pada pukul 3 petang.

Rakaman video insiden samun yang dirakam televisyen kamera litar tertutup (CCTV) itu juga turut tular di media sosial beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Menerusi perkongsian warga awam di aplikasi Telegram Info Semasa Official memaparkan sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu yang dinaiki empat lelaki warga tempatan dengan bersenjatakan parang sceara tiba-tiba berhenti di hadapan rumah mangsa.

Dua daripadanya terus masuk ke dalam rumah dan menghampiri mangsa. Pada waktu kejadian, mangsa dan ahli keluarganya yang lain berada di ruang dapur.

Salah seorang mangsa yang ketakutan dilihat cuba melarikan diri mengikut pintu dapur.

Penyamun itu kemudiannya dilihat beredar dari rumah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao mengesahkan kejadian samun berkenaan berlaku di Klang.

Katanya, pihak polis menerima dua laporan berhubung kes samun daripada seorang wanita dan lelaki pada jam 4.19 petang 5.51 petang.

"Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati semasa kejadian mangsa yang merupakan seorang suri rumah sedang mengemas rumahnya dalam keadaan pintu dan pagar terbuka.

“Tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu yang dinaiki empat lelaki warga tempatan dengan bersenjatakan parang telah keluar daripada kereta dan menyamun mangsa dengan mengacukan parang.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian tiga utas rantai emas yang dilarikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Rao lagi, pengamatan terhadap video yang tular mendapati kes tersebut membabitkan empat suspek bersenjatakan parang yang menutup muka mereka dengan topeng dan pelitup muka.

"Pada hari yang sama, satu lagi kejadian samun membabitkan kumpulan sama dilaporkan berlaku pada jam 3.20 petang di Taman Klang Utama, Bukit Raja.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan bersenjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nur Saiful Hazwan Mohamad Ridzuan di talian 016-7404177 atau pergi balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram