BENGANG kena tampar, seorang lelaki warga emas disyaki panas baran bertindak mencampak seorang penumpang lain ke luar kereta api sedang bergerak laju di India.
Kejadian tersebut berlaku di antara Stesen Jalan Tarapith dan Stesen Kereta Api Rampurhat, di West Bengal, India, pada Sabtu.
Menurut laporan News Waali, mangsa, Sajal Sheikh berasal dari Rampurhat di Birbhum, Bengal, India.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di laman Twitter milik Arvind Chauhan, seorang lelaki tua sebelum itu bertengkar dengan Sajal Sheikh dalam sebuah kereta api di Bandar Howrah-Malda Ekspress.
Kejadian tersebut bertambah keruh apabila mangsa mula menampar lelaki tua tersebut sebelum suspek bertindak mencampak Sajal Sheikh ke luar kereta api yang sedang bergerak laju itu.
Mangsa kemudiannya ditemui berlumuran darah di landasan kereta api dan kini berada dalam keadaan kritikal. Video rakaman itu kini tular di laman sosial sejak Selasa.
Menurut rakaman itu, tertuduh kini ditangkap pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram