BINTANG muda sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman tidak pernah gagal mencuri tumpuan penyokong bola sepak tanah air setiap kali membuat penampilan bersama pasukan Johor Darul Takzim (JDT).
Pada perlawanan penutup tirai Liga Super 2022 menentang Sabah FC pada Sabtu, Arif berjaya melakukan sepakan percuma bertaraf 'world class' sekali gus melonjakkan lagi daya penarik pemain berusia 20 tahun tersebut.
Bukan itu sahaja, anak kelahiran Pahang tersebut turut mendapat pujian apabila sebuah video menyaksikan dia mencium tangan pemain Sabah FC, Amri Yahyah pada perlawanan sama sebagai tanda penghormatan terhadap bekas pemain JDT tersebut.
Terbaru, Arif sekali lagi membuktikan bahawa dia memiliki kelas tersendiri apabila menjadi pemain paling bernilai dalam kalangan pemain tempatan di saingan Liga Malaysia musim ini.
Berdasarkan tinjauan Majoriti pada laman Transfermarkt, nilai terbaharu pemain berusia 20 tahun tersebut adalah €400,000 atau bersamaan RM1,839,900 juta.
Menerusi laman Facebook Pecinta Bola Sepak Malaysia, penyokong berkongsi bahawa nilai terbaharu Aiman dalam pasaran menunjukkan peningkatan sebanyak 67% sejak hampir setahun lalu.
Ini kerana, pada Oktober 2021, Arif dinilai pada tanda harga €150,000 atau bersamaan dengan RM689,962.
Nilai tersebut kemudianya meningkat 50% pada Mei lalu apabila pemain sayap kanan itu dinilai pada tanda harga €300,000 atau bersamaan dengan RM1.38 juta.
Penilaian terbaru oleh Transfermarkt ini bermakna Arif kini adalah pemain ketiga paling bernilai di dalam skuad JDT di belakang Fernando Forestieri (€850,000 atau RM3.9 juta) dan Bergson da Silva (€500,000 atau RM2.29 juta).
Tangkap layar poster Pecinta Bola Sepak Malaysia
Peningkatan mendadak nilai pemain itu juga bermakna Arif Aiman kini memintas pemain import JDT yang lain seperti Leandro Velazquez dan Shane Lowry yang masing-masing bernilai €275,000 atau RM1.2 juta.
Sebagai rekod, laman Transfermarkt menggunakan indikasi seperti usia, pencapaian atau prestasi dan tempoh kontrak untuk menilai seseorang pemain.
Melihat kepada perkembangan terbaharu bintang muda tersebut, peminat bola sepak, Aldy Amira berharap Arif ikut resmi padi yakni semakin berisi, semakin tunduk.
"Arif dah semakin terkenal dan berprestij, harap-harap Arif teruskan sifat rendah diri macam sekarang ni. Ikut resmi padi dan jadi contoh yang baik," katanya.
Rusli hitam menambah: "Merendah diri lebih baik walaupun hidungmu tinggi."
"Teruskan Arif. Kamu kebanggaan kami. Harap-harap Arif Aiman kekal sebagai Arif Aiman walaupun status sosial berubah," ujar Amira Roslan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram