[VIDEO] Direntap sekelip mata, budak 9 tahun diculik depan si ibu, suspek tuntut wang tebusan hampir RM1 juta


  • Benua
  • Isnin, 17 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang daripada penculik itu merentap seorang budak lelaki daripada ibunya dan menolaknya ke dalam kereta.

SEJAK kebelakangan ini terdapat banyak cubaan menculik kanak-kanak yang menjadi kerisauan ibu bapa.

Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berdepan detik menakutkan apabila diculik ketika dalam perjalanan ke sekolahnya.

Insiden itu dipercayai berlaku di bandar Huehuetoca, Mexico.

Kejadian itu berjaya dirakam televisyen kamera litar tertutup (CCTV) yang terletak di kawasan tersebut.

Dalam rakaman video itu memaparkan budak lelaki tersebut memegang tangan ibunya ketika mereka berjalan kaki bersama ibu bapa dan kanak-kanak lain pada pukul 8 pagi Isnin lalu. Tiba-tiba dua lelaki bersenjata melompat keluar dari kereta Nissan Platina berwarna merah.

Salah seorang daripada penculik itu kemudiannya merentap budak lelaki itu dan menolaknya ke dalam kereta manakala rakan penjenayah itu memukul kepala ibu mangsa dengan pistol.

Penculik itu juga dilihat merampas beberapa barangan mangsa dan terus beredar dari kawasan tersebut.

Memetik laporan media Almomento, suspek mengarahkan keluarga mangsa untuk membayar wang tebusan RM942,300 ($200,000).

Susulan daripada insiden tersebut, polis tempatan terus melancarkan operasi pencarian dan berjaya mengesan mangsa di salah sebuah rumah penculik yang terletak lapan kilometer dari kawasan kejiranan Benito Juárez.

Polis menyerbu rumah itu pada malam Rabu dan menyelamatkan budak itu.

Ketika serbuan dilakukan, mata mangsa dilaporkan telah ditutup dengan sehelai kain untuk menghalang dia mengenali penculiknya.

Empat lelaki dan dua wanita telah ditahan, bersama seorang remaja perempuan.

Menurut media tempatan, suspek yang ditahan dikenali sebagai Moisés Alexander, Erick Mateo, Omar Avelardo, dan Leonel Eduardo, Glenda dan Lucila Guadalupe.

Dalam perkembangan lain, pendakwa raya mahkamah tempatan mengesahkan suspek merupakan sebahagian ahli kumpulan kongsi gelap terkenal yang berbahaya di kawasan yang Mexico City dan separuh timur Mexico.

Suspek dijangka hadir di hadapan hakim Negeri Mexico persekutuan untuk perbicaraan mereka.

Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun itu adalah kanak-kanak kedua yang diculik minggu lalu di Mexico. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram