SEORANG wanita berdepan detik cemas hampir diragut oleh mat rempit di kawasan deretan kedai pada petang Khamis.
Kejadian ragut itu dipercayai berlaku di Kuala Kangsar, Perak kira-kira pukul 2 petang.
Insiden itu berjaya dirakam televisyen kamera litar tertutup (CCTV) salah sebuah premis berkenaan dan dimuat naik semula melalui akaun Twitter MohdFaizalHassan pada Jumaat.
Dalam video itu kelihatan lelaki itu membuat pusingan 'U' selepas ternampak dua penunggang motosikal wanita di seberang jalan.
Mat rempit itu kemudian menunggu hingga jalan lengang sebelum bergerak menghampiri kedua-dua mangsa.
Pada masa sama, salah seorang mangsa sudah berjalan menyeberang jalan menuju ke arah salah sebuah kedai di situ.
Seorang lagi mangsa pula sedang leka menanggalkan topi keledar ketika dia dihampiri lelaki berkenaan.
Mangsa yang terkejut disergah suspek dari belakang sempat menyorokkan beg tangan berwarna putih yang digalas ke belakang badannya.
Lelaki itu yang tersentak dengan tindakan wanita terbabit segera meninggalkan tempat berkenaan dengan motosikalnya.
Pada akhir video tersebut, wanita yang hampir menjadi mangsa ragut itu berjalan menyeberang jalan sambil memegang erat beg tangannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, mengesahkan penahanan suspek bersama barang kes termasuk motosikal yang digunakan.
Katanya, polis percaya suspek turut mempunyai kaitan dengan dengan satu lagi kes cubaan samun di sekitar pusat bandar ini yang mana videonya turut tular di media sosial.
"Berdasarkan siasatan, suspek dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal digunakannya semasa kejadian.
"Sehingga kini suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 19 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak bersenjata," katanya melalui kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram