'Satu Malaysia doakan Nurul Nazihah', berkat amalan ketika hayat, jenazah umpama sedang solat


  • Tular
  • Ahad, 16 Okt 2022

Allahyarham Nurul Nazihah (kanan) maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sedenak malam Sabtu.— Facebook/Nurul Nazihah

PEMERGIAN seorang mangsa kemalangan maut di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Sedenak pada Sabtu meruntun hati ramai pihak.

Mangsa, Nurul Nazihah Kamalul Arifin dilaporkan baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lepas.

Memetik laporan Bernama, bapa Allahyarham, Kamalul Arifin Ahmad, 66, berkata, anaknya baru sahaja kembali bekerja dua hari lepas dan ada memaklumkan untuk balik ke rumahnya minggu depan.

Jenazah Nurul Nazihah Kamalul Arifin tiba di rumah keluarganya di Kampung Lukut, Kota Tinggi, Johor pada pukul 3.18 petang Ahad. — Video Bernama

Menurut Kamalul, meskipun sedih dengan pemergiaan anaknya, dia reda apatah lagi apabila diberitahu jenazah anaknya ditemui sempurna, seolah-olah sedang duduk antara dua sujud.

"Apabila dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa keadaan jasad arwah masih sempurna, saya rasa syukur dan yakin ini mungkin berkat amalannya ketika hidup yang sangat tegas dalam bab agama," katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang ceria dan penyayang.

Dilaporkan bahawa, kakak Allahyarham Nurul Nazihah, 28, yang berada di hospital memberitahu badan arwah adiknya tidak terkupas akibat api yang membakar.

Sementara itu, seorang kenalan Allahyarham Nurul Nazihah, Nurul Hazar turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian sahabatnya itu.

Dia menyifatkan Allahyarham dikurniakah khusnul khatimah atas amalan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya.

"Sudah pasti ALLAH jemput Kazie (panggilan Allahyarham Nurul Nazihah) kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang bersih seperti bayi.

"Diampuni segala dosanya dan diredhai ALLAH diangkat hajat dan doa-doanya.

"Terima kasih tinggalkan banyak kebaikan buat kami semua. Pengakhiran yang khusnul khotimah.

"Apa amalan Kazie masa hayatnya...jasadnya sempurna," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

photo_6224416336969315027_y

Nurul Nazihah Kamalul Arifin dilaporkan baru kembali daripada menunaikan umrah bersama suami dan ibu bapanya minggu lepas. — Facebook/Nurul Nazihah

Nurul Hazar turut berkata, pemergian Allahyarham didoakan seluruh rakyat Malaysia yang tumpang simpati dan sedih atas pemergiannya.

"Semua orang pasti kembali, kembalinya arwah yang dicemburui, yang tak semua orang dapat, satu Malaysia doakan Kazie," tulisnya lagi.

Bernama melaporkan, Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama, Kota Tinggi di Johor sebaik sahaja jenazah tiba dan disembahyangkan.

Terdahulu, dilaporkan dua individu dipercayai rentung manakala empat terselamat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan berdekatan Sedenak.

Nurul Nazihah ditemukan tersepit dalam Proton Wira manakala seorang lagi adalah mangsa dalam Toyota Vios tetapi belum dikenal pasti identitinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram