[VIDEO] Padan muka, gigih umpil tabung tapi 'pitih' tak ada, pencuri duit surau di Kelantan gigit jari


  • Tular
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Tangkap layar seorang lelaki mengumpil tabung derma yang diletakkan di dalam sebuah surau di Kelantan.

PERBUATAN seorang lelaki mencuri duit tabung surau tular di media sosial baru-baru ini.

Insiden itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan dan dimuat naik semula di halaman Facebook Kongsi Segala Info pada Khamis.

"Tak ada pitih (duit). Kamu curi salah tempat, bikin malu anak bangsa mu ini," tulisnya.

Kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah surau di Kelantan berdasarkan dialek yang digunakan.

Video tersebut memaparkan seorang lelaki berada di dalam ruang solat surau berkenaan dilihat mengumpil tabung derma yang diletakkan di ruang tengah tempat ibadat itu.

Difahamkan, individu tersebut pada mulanya kelihatan mundar-mandir dalam keadaan mencurigakan di luar surau berkenaan.

Turut kedengaran suara beberapa orang lelaki disyaki ahli jawatankuasa surau tersebut berbincang tentang kelakuan pencuri itu.

"Dia umpil, cuba buka sambil perhatikan keadaan sekeliling. Tapi bila dah berjaya buka tabung, duit pula tak ada," katanya sambil ketawa.

Percubaan lelaki itu untuk mencuri duit itu gagal apabila tabung tersebut tidak mengandungi wang derma.

Dia kemudiannya dilihat menyimpan sebatang besi ke dalam seluarnya dan beredar dari tempat berkenaan.

Tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram