PERGADUHAN yang berlaku antara dua lelaki menyebabkan anak perempuan masing-masing menjadi mangsa tembakan di Florida, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Insiden itu bermula apabila keluarga Frank Allison, 43, mengeluarkan kata-kata lucah terhadap William Hale, 35.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah jalan di Jacksonville itu, kedua-keduanya didakwa melepaskan tembakan antara satu sama lain.
Lebih mengerikan, mereka menyasarkan tembakan ke atas anak perempuan masing-masing.
Anak perempuan Allison, Shelby yang berusia 14 tahun didakwa ditembak oleh Hale pada belakang badan.
Allison kemudian dilihat menutup belakang badan anak gadis menggunakan bajunya sambil dibantu oleh pihak polis.
Allison juga didakwa menembak anak perempuan Hale yang berusia lima tahun pada kaki. Namun, aksi berkenaan tidak sempat dirakam.
Polis berkata, kedua-dua lelaki tersebut sudah ditahan atas cubaan membunuh, manakala anak perempuan mereka yang kini mendapat rawatan perubatan dilapor selamat.
Namun, Ketua Polis Daerah Nassau, Bill Leeper mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kedua-dua suspek menyifatkannya sebagai pergaduhan kucing dan anjing.
"Apa yang lebih menakutkan daripada dua pemandu gila dengan pistol?
"Dua orang bertindak tidak wajar dan tidak mengawal tingkah laku mereka. Mungkin dua kanak-kanak mati kerana sikap dua lelaki itu," katanya.
Berdasarkan maklumat awal, Hale yang memandu kereta berjenama Dodge Ram membawa lima penumpang termasuk ibunya.
Allison pula memandu Nissan Murano kelabu dengan membawa tiga penumpang, termasuk isteri dan anaknya untuk pulang ke Georgia.
Ketika kejadian, kedua-duanya menuduh antara satu sama lain termasuk memandu secara tidak tentu hala dan berbahaya.
Isteri Allison, Jessica pada mulanya didakwa membuat isyarat lucah pada keluarga Hale.
Berang dengan perkara itu, keluarga Hale kemudian melempar botol air ke dalam kenderaan Allison.
Perkara itu menyebabkan berlaku aksi tembak-menembak antara mereka sebelum anak masing-masing menjadi mangsa. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram