Suspek kes culik cuba rodok polis guna pen


  • Benua
  • Khamis, 01 Sep 2022

Tangkap layar video seorang suspek lelaki cuba menikam polis dengan menggunakan pen. — Agensi

SEORANG suspek kes penculikan di Ohio, Amerika Syarikat cuba menikam pegawai polis dengan menggunakan pen ketika proses soal siasat sedang dijalankan.

Terdahulu, Reid Duran, 35, disoal siasat polis pada Isnin di Sekolah Katolik St. Brigid di Xenia, Amerika Syarikat.

Duran menerusi video itu memakai baju kemeja baru dan seluar pendek serta tidak digari kerana dia hadir ke balai polis secara sukarela.

Namun, ketika disoal siasat, dia secara tiba-tiba telah mengambil pen di atas meja sebelum cuba menikam pegawai polis yang dikenali sebagai Nicholas Peters.

Namun, Peters berjaya menghalang cubaan untuk menikamnya dan sempat menjatuhkan suspek sebelum meminta bantuan rakan-rakannya.

Terdahulu, Duran membuat kenyataan kepada detektif penyiasat yang mendakwa dia berniat untuk memberi mangsanya gula-gula yang dicampur dengan ubat penenang.

Tetapi, tiada bukti yang menemukan terdapat dadah di dalam gula-gula yang ada padanya itu.

"Duran juga didapati tidak memberikan sebarang gula-gula kepada kanak-kanak di sekolah itu. Malah, dia juga tidak pernah bersendirian dengan mangsa di kawasan itu," kata polis.

Duren didakwa dengan cubaan menculik dan cubaan melarikan diri.

Sementara itu, abang dan ibu suspek memberitahu Duren mengalami penyakit mental selama bertahun-tahun namun tidak pernah menunjukkan sebarang kecenderungan ke arah keganasan.

"Dia (suspek) lebih banyak mencederakan diri sendiri. Dia juga sangat lembut dan bertimbang rasa kepada orang lain," kata abang suspek.

Sementara itu, ibu suspek berkata, dia tidak menyangka yang anaknya sanggup berbuat demikian dan menganggap tindakan anaknya itu ekoran penyakit mental yang dihadapinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram