Calon pengganti Leandro, Mesut Ozil dalam radar JDT


  • Podium
  • Khamis, 01 Sep 2022

Penyertaan Mesut Ozil ke JDT bukan sahaja meningkatkan prestasi kelab, malah melonjak nilai komersial Liga Super.

KELAB Johor Darul Takzim (JDT) dikhabarkan mengintai khidmat bekas bintang Arsenal, Mesut Ozil pada jendela perpindahan Liga Malaysia musim 2023.

Pemain berusia 33 tahun itu disebut-sebut ke Harimau Selatan berdasarkan rumours antarabangsa yang dikongsikan Junpiter Futbol pada 29 Ogos lalu.

"Germany's Mesut Ozil is reported to be linked with JDT for the brand new season 2023. A great boost for Malaysian and Southeast Asian football? (Pemain kelahiran Jerman, Mesut Ozil dikaitkan dengan kelab JDT bagi musim 2023. Satu rangsangan hebat untuk bola sepak Malaysia dan Asia Tenggara?)," tulisnya dalam perkongsian di transfermarkt.com.

Mesut Ozil juga tersenarai antara pemain yang berada dalam radar JDT bersama nama-nama besar seperti Papu Gomez, penyerang prolifik Argentina yang turut dikaitkan dengan kelab gergasi Liga Super itu.

mesut ozil2

Mesut Ozil juga tersenarai sebagai pemain dalam radar JDT bersama nama-nama besar seperti Papu Gomez.

Jika Papu Gomez boleh menyertai JDT seawal Januari 2023 kerana kontrak Papu Gomez bersama Sevilla tidak mempunyai klausa pelepasan, Mesut Ozil pula lain kisahnya.

Ini kerana kontrak pemain berketinggian 1.8 meter itu bersama kelab Istanbul Basaksehir hanya akan berakhir 30 Jun 2023. Dia baru saja menyertai kelab tersebut dari Fenerbahce pada Ogos lalu.

Ia menandakan jika perpindahan itu dapat direalisasikan, Mesut Ozil mungkin hanya akan menyertai JDT pada jendela perpindahan kedua musim depan.

Bekas pemain tengah skuad antarabangsa Jerman itu mungkin calon sesuai menggantikan tonggak import JDT, Leandro Velasquez yang disebut-sebut bakal ditamatkan kontrak pada 30 November 2022.

Kedua-duanya memiliki persamaan kerana bermain di posisi tengah menyerang (attacking midfield) selain boleh beraksi di sayap kanan dan kiri. Mereka juga bermain dengan kaki kiri.

mesut ozil

Rumours antarabangsa yang mengaitkan Mesut Ozil dengan JDT dikongsikan Junpiter Futbol pada 29 Ogos lalu.

Penyertaan Mesut Ozil ke JDT nanti bukan sahaja dapat membantu JDT untuk meningkatkan prestasi dan nilai pasaran, bahkan mengharumkan nama JDT ke serata dunia sekali gus membawa masuk penaja-penaja antarabangsa.

Berdasarkan data transfermarkt.com, nilai pasaran Mesut Ozil mencecah 1.8 juta euro (RM8.07 juta) yang akan mejadikannya pemain termahal Liga Malaysia (Liga M).

Ketika ini, takhta itu dipegang oleh import JDT, Jordi Amat dengan nilai 1 juta euro (RM4.48 juta) manakala Fernando Forestieri di tangga kedua dengan nilai RM4 juta.

Berdasarkan tanda harga itu, kehadirannya pasti melonjakkan lagi nilai pasaran Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram