Pemandu Honda City 'gila' rupanya penjenayah, 'kantoi' rembat coklat


  • Tular
  • Khamis, 01 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan salah seorang suspek berjaya meloloskan diri dengan sebuah kenderaan jenis Honda City.

SEORANG lelaki warga tempatan berjaya melarikan diri selepas terlibat dalam satu kes kecurian dan melanggar beberapa kenderaan di sebuah pasar raya terkemuka di Johor Bahru, Johor.

Suspek berusia 39 tahun itu yang dibantu seorang lagi suspek wanita dikesan mencuri oleh pegawai keselamatan bertugas selepas mereka gagal melepasi mesin pengesan di kaunter bayaran.

Suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan memandu kereta jenis Honda City secara merbahaya di ruangan parkir apabila merempuh beberapa kenderaan termasuk Proton Iriz dan sebuah motosikal manakala seorang lagi rakannya berjaya ditahan oleh pihak pengurusan pasar raya.

Menurut laporan polis, suspek dikenali sebagai Muhammad Firdaus Shamsudin dan beralamat terkini di Gemas, Negeri Sembilan berjaya meloloskan diri meskipun dihalang oleh beberapa orang awam dan petugas pasar raya yang berada di lokasi kejadian.

Antara barangan yang dicuri ialah peralatan perkakas rumah dan pelbagai jenis coklat dengan anggaran kerugian pasar raya bernilai lebih kurang RM952.19.

Ujian saringan air kencing ke atas tangkapan menunjukkan positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.

Pihak polis masih dalam siasatan untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlepas dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum 10 tahun penjara, denda atau sebat.

Kes ini juga disiasat di bawah seksyen 427 kanun yang sama dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan atau pegawai penyiasat Sarjan Nuraziera Miersha Jamaludin di talian 017-34998690. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kes Kecurian, Lotus Tebrau, Johor Bahru