SEORANG pemimpin seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik agar sentiasa dihormati dan disanjungi oleh orang ramai.
Namun, video tular tentang aktiviti tidak bermoral seorang ketua kampung menjadi buah mulut orang ramai, sekali gus menimbulkan persepsi buruk ke atas pemimpin tersebut yang dianggap miang keladi.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Bogor, dekat Jawa Barat, Indonesia itu, lelaki tersebut dilihat sedang berhibur dan menari ketika beberapa orang penyanyi dangdut melakukan persembahan di atas pentas.
Pada masa sama, lelaki itu yang membawa kepingan wang kertas dalam jumlah yang banyak juga dilihat menabur wang tersebut ke arah penyanyi yang berada di hadapannya.
Aksi lelaki itu sekali gus mendapat sambutan daripada penyanyi-penyanyi tersebut, yang dilihat teruja apabila mendapat durian runtuh.
Video tersebut didedahkan di laman Instagram @terang_media pada minggu lalu, yang mana lelaki tersebut memakai seluar jeans dan t-shirt ketat berwarna putih.
Menurut sumber, lelaki tersebut yang dikenali sebagai AH merupakan ketua Kampung Kiara Sari, dekat Kecamatan Sukajaya, Kabupaten Bogor.
Sementara itu, Setiausaha Daerah Sukajaya, Tirta Juwarta ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, lelaki tersebut akan dipanggil untuk mendapatkan penjelasan sekiranya video terbabit disahkan benar.
"Saya baru dengar dan apabila perkara ini menjadi tular, saya akan memanggilnya," kata Tirta.
Pada masa sama, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia mengakui kesal dengan kelakukan ketua kampung tersebut.
Katanya, pemimpin tersebut seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada penduduk dan bukan sebaliknya.
Apatah lagi, katanya, negara itu sedang berada dalam fasa pemulihan ekonomi.
Tambahnya, masih ramai penduduk di Kampung Kiara Sari yang berstatus miskin dan memerlukan bantuan, yang mana kebanyakannya bekerja sebagai buruh tani.
Selain itu, sumber mendakwa, video tersebut berlaku pada 6 Ogos lalu, manakala media masih belum mendapatkan pengesahan tentang keberadaan terkini ketua kampung berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram