Rayuan akhir SRC: Mahkamah tolak permohonan Najib masukkan bukti baharu


Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan pasukan pembelaan Najib untuk memasukkan bukti baharu. — The Star

PANEL lima hakim Mahkamah Persekutuan pada Rabu sebulat suara menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti baharu, berkaitan rayuan berhubung SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ketika membacakan keputusan itu berkata, kesemua usul pembelaan, yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik, mempunyai objektif untuk mewujudkan keraguan terhadap hakim bicara iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pasukan pembelaan, kata beliau, memfailkan permohonan tersebut untuk mengisytiharkan perbicaraan dan sabitan Mahkamah Tinggi ke atas Najib sebagai tidak sah, dan mohon dibicarakan semula.

Bagaimanapun, katanya lagi, panel lima hakim yang beliau pengerusikan, sebulat suara bersetuju bahawa kesemua usul tersebut adalah tidak relevan dengan pertuduhan asal ke atas bekas Perdana Menteri itu, iaitu kemasukan dana RM42 juta ke dalam dua akaun peribadi beliau.

Sewaktu membacakan keputusan tersebut, Tengku Maimun berkata, persoalan utama yang cuba diwujudkan pembelaan adalah sama ada kedudukan Mohd Nazlan sewaktu bersama Kumpulan Maybank, iaitu sebagai setiausaha dan penasihat am, mempengaruhi penghakiman beliau berhubung kes SRC International.

Tengku Maimun kemudian menangguhkan perbicaraan seketika untuk membuat keputusan berhubung permohonan tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram