SEORANG pemuda dari Kabupaten Sukabumi, di Pulau Jawa, Indonesia mengaku pernah bekerja sebagai pentadbir (admin) selepas diajak oleh salah seorang rakannya yang bekerja di Jakarta.
Namun, tidak sampai sehari, lelaki itu yang dikenali sebagai D, mengaku tidak selesa dengan corak kerja di salah sebuah premis perjudian terbabit.
D mendedahkan bahawa, tugasnya adalah menyebarkan mesej yang mengandungi pelbagai tawaran kepada pemilik nombor telefon di laman perjudian.
"Selepas melihat sistem kerja, sebenarnya saya diminta menarik orang ramai untuk mendaftar dalam slot judi.
"Terdapat sekitar 1,000 kenalan WhatsApp manakala saya perlu menyasarkan 15 orang sehari untuk mendaftar sebagai ahli," katanya.
Dedahnya lagi, dia dibekalkan dengan gambar bogel dan video lucah oleh majikannya sebagai umpan untuk menarik lebih ramai mendaftar sebagai ahli.
Perkara tersebut menjadikannya berubah fikiran untuk meneruskan pekerjaan tersebut, seterusnya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman.
Nasib tidak menyebelahinya apabila pengurus premis mengugutnya untuk tidak mengembalikan sijil peperiksaan yang disimpannya.
D juga diarahkan untuk membayar wang tunai sebanyak Rp 3 juta (RM900) sekiranya dia mahu menuntut kembali sijil sekolah vokasionalnya.
"Saya mencari alasan untuk pulang dengan mengatakan bahawa kononnya nenek saya sakit dan saya diminta pulang. Saya dibenarkan pulang namun dengan syarat saya perlu membayar Rp 3 juta (RM900) untuk menuntut sijil," katanya.
Ketika ini, D mengaku dirinya buntu untuk mengadu kepada pihak berwajib tentang kejadian menimpa dirinya.
Dalam masa terdekat, dia mengaku sedang mengumpul wang untuk pulang ke Jakarta serta mengambil sijil miliknya di premis tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram