Dota 2, Yahoo, Counter Strike dan Paypal antara disekat


  • Benua
  • Isnin, 01 Ogos 2022

Laman sesawang permainan seperti Dota2, Counter-Strike dan EpicGames sudah disekat di Indonesia. — Agensi

INDONESIA menyekat platform Yahoo, Paypal dan beberapa laman sesawang permainan kerana gagal mematuhi peraturan pelesenan, kata seorang pegawai kanan republik itu pada Sabtu, mencetuskan tindak balas dalam media sosial.

Pendaftaran diperlukan di bawah peraturan dikeluarkan pada akhir November 2020, memberi kuasa pihak berkuasa untuk memaksa platform mendedahkan data pengguna tertentu serta mengeluarkan kandungan dianggap menyalahi undang-undang atau ‘mengganggu ketenteraman awam’ dalam tempoh empat jam, jika mendesak, dan 24 jam, jika tidak.

Beberapa syarikat teknologi bergegas untuk mendaftar, beberapa hari sebelum tarikh akhir yang dilanjutkan sehingga 29 Julai 2022, termasuk Alphabet, Facebook, Instagram, WhatsApp dan Amazon.com.

Pegawai kanan di Kementerian Komunikasi Indonesia, Semuel Abrijani Pangerapan berkata, Yahoo, Paypal dan laman sesawang permainan seperti Steam, Dota2, Counter Strike dan EpicGames sudah disekat.

Tanda pagar atau hashtag seperti ‘BlokirKominfo’ (sekat Kementerian Komunikasi), Epic Games dan Paypal menjadi trend di Twitter Indonesia dengan banyak mesej bertulis, mengkritik langkah kerajaan sebagai menjejaskan industri permainan dalam talian dan pekerja bebas yang menggunakan Paypal.

Indonesia merupakan pasaran penting untuk pelbagai platform teknologi dengan anggaran 191 juta pengguna internet dan golongan muda mahir media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Indonesia, Disekat, Dota2, Yahoo, Paypal