Kes bunuh 32 penduduk kampung, 5 suspek utama dicekup


  • Benua
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Kampung Ambolotarakely ibarat kawasan berhantu selepas semua penghuni keluar dari kawasan tersebut. — Agensi

LIMA suspek yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan 32 penduduk selepas kediaman mereka dibakar kampung Ambolotarakely, Antananarivo, Madagascar.

Sumber dalaman polis Madagascar berkata, kesemua suspek itu ditahan pada Isnin selepas disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penyamun lembu yang melakukan pembunuhan itu.

Sumber itu berkata, kesemua suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah yang aktif mencuri lembu dikenali sebagai Dahalo.

"Namun, motif pembunuhan masih lagi dalam siasatan. Pihak berkuasa percaya pertikaian mengenai hak milik tanah mungkin menjadi sebab pembunuhan berlaku," katanya.

Terdahulu, polis memburu sekumpulan penjenayah yang telah membunuh 32 penduduk tempatan termasuk seorang wanita dan 15 kanak-kanak.

Menurut polis, kesemua mangsa telah dipaksa masuk ke dalam tiga buah jerami sebelum dibakar hidup-hidup.

Dalam pada itu, Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (CNIDH), Seth Andriamarohasina berkata, pasukan keselamatan sedang mengawal ketat kawasan kampung tersebut.

"Buat masa ini semua penduduk kampung sudah keluar dari kawasan itu kerana takut dengan Dahalo," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram