Punca kematian jurulatih penerbangan di Ipoh dikenal pasti polis


  • 112
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Pegawai dan anggota keselamatan melakukan kerja-kerja mengeluarkan mayat jurulatih penerbangan yang maut selepas pesawat ringan jenis Piper 28 terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, Isnin. — Bernama

KEPUTUSAN bedah siasat jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal yang maut dalam nahas pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di Ipoh, Perak, Isnin disebabkan kecederaan pada tengkuk dan dada.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dalam kenyataan ringkas berkata, kecederaan itu adalah disebabkan kemalangan aviasi.

Dalam insiden kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, yang sebelum itu kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang dikenali sebagai Radzi, 50, ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh berkata, Allahyarham Fajim Juffa dijangka akan dikebumikan di Semenyih, Selangor berhampiran kediaman mangsa.

Radzi berkata, Allahyarham akan disembahyangkan di Surau Al-Kauthar, Bandar Tasik Kesuma namun lokasi tanah perkuburan masih belum diketahui.

Sejak awal pagi Selasa, ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham turut hadir menanti proses bedah siasat selesai dijalankan. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram