Jemaah haji hilang wang RM4,000 di tanah suci


  • Benua
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Wakil pengurusan hotel (kiri) menyerahkan wang ganti yang dilaporkan hilang oleh jemaah haji Indonesia. — Agensi

WALAUPUN berada di tanah suci, kes kecurian dilaporkan tetap berlaku dan terbaharu melibatkan jemaah haji dari Indonesia.

Kecurian dilaporkan berlaku di sebuah hotel di mana tiga jemaah itu kehilangan wang lebih 13.4 juta rupiah (RM4,000) yang disimpan di dalam bilik.

Ketua Daerah Kerja Mekah (Ahli Penganjur Haji Arab Saudi), Muhammad Khanif berkata, selain wang, seorang daripada jemaah juga kehilangan beg yang berisi beberapa dokumen penting.

"Peristiwa itu berlaku pada 15 Julai lalu dan kami juga telah berhubung dengan pengurusan hotel sebelum siasatan dilakukan.

"Selepas disahkan berlaku kejadian kecurian, pihak pengurusan hotel telah bertanggungjawab menggantikan semula kesemua wang jemaah yang hilang," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Khanif turut menafikan dakwaan yang mengatakan jumlah yang hilang itu adalah 16.8 juta rupiah (RM8,000), sebaliknya cuma RM4,000.

Malah, video tular yang mengatakan bahawa jemaah belum menerima wang ganti juga tidak benar kerana kesemua mereka telah menerima duit tersebut.

"Buat masa ini kita menasihatkan kepada jemaah haji supaya sentiasa berhati-hati dengan barangan berharga.

"Jika berlaku kehilangan atau kecurian, segera maklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram