PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah ancaman Kuching City FC dalam pertemuan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.
Menurut jurulatih kelahiran Kelantan itu, walaupun TFC dilihat memiliki kelebihan kerana berstatus pasukan Liga Super, ia bukan jaminan untuk menang kerana cabaran di peringkat perlawanan kalah mati berbeza berbanding liga.
Justeru katanya, skuad Penyu tidak boleh leka dan perlu sentiasa berwaspada dengan elemen kejutan dalam perlawanan yang boleh mengakibatkan mereka berputih mata di laman sendiri, jika tersalah langkah.
"Di atas kertas kita (TFC) mungkin memiliki kelebihan kerana kita bertemu dengan pasukan Liga Premier (Kuching City FC) di suku akhir.
"Tetapi hakikatnya kita akan merasai lebih tekanan kerana harapan daripada peminat amat tinggi untuk kita mara ke peringkat seterusnya," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Ketika ditanya mengenai skuad utama yang akan diturunkan malam esok, Nafuzi berkata, beliau masih belum dapat membuat keputusan kerana beberapa pemain utamanya masih dilanda kecederaan.
Bagaimanapun katanya, situasi tersebut tidak mematahkan semangat dan menjejaskan peluang skuad Penyu untuk meraih kemenangan.
"Antara pemain yang cedera dan mungkin tak dapat beraksi ialah Faisal Abdul Halim, penjaga gol Suhaimi Hussin dan Manuel Ott yang mengalami kecederaan dalam dua perlawanan sebelum ini," katanya.
Nafuzi berkata, di sebalik debaran berdepan perlawanan malam esok (Sabtu), beliau agak teruja kerana bakal bertemu pasukan bekas 'sifu'nya, Irfan Bakti Abu Salim yang pernah bersama-sama mengemudi skuad Terenggganu dari 2007 hingga 2009. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram