Tempoh reman tamat Sabtu, penceramah bebas disyaki rogol diserah kepada polis KL


  • 112
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Sasikala Devi menggesa individu lain yang mendakwa menjadi mangsa penceramah bebas itu untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis. — Sinar Harian

PENCERAMAH bebas bergelar ustaz yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan diserah kepada polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Sabtu untuk tindakan lanjut.

Ia susulan tempoh reman selama lima hari terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu tamat pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, reman terhadap lelaki itu akan tamat pada Sabtu dan akan diserahkan ke pihak polis Kuala Lumpur.

"Setakat ini laporan polis yang diterima membabitkan kes itu masih kekal empat dengan masing-masing dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Perak.

"Kita menggesa sekiranya ada individu lain yang mendakwa menjadi mangsa untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis," katanya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sasikala berkata, berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja perempuan itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum perkenalan terjalin sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan bagi melihat sama ada wujud unsur ugutan dilakukan suspek terhadap mangsa susulan berlaku beberapa hubungan intim sebelum ini.

“Siasatan juga masih dijalankan sama ada disebabkan perwatakan baik yang membuatkan mangsa percaya kepada suspek sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol)," ujarnya.

Pada 16 Julai lalu, polis menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa dirogol suspek.

Susulan itu, pada 18 Julai kira-kira jam 4.50 petang, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram