Tonggak TRW sedih tidak dapat turun padang, titip doa buat rakan sepasukan berdepan JDT II


  • Podium
  • Jumaat, 22 Jul 2022

Antara persediaan para pemain Kelantan FC sebelum menentang JDT II pada Jumaat. — Facebook/TRW Kelantan FC

LUMRAH setiap atlet pasti memiliki perasaan membuak-buak untuk tampil sebagai hero buat pasukan mereka pada setiap perlawanan yang ada.

Bagaimanapun, hasrat tersebut akan terkubur sekiranya atlet tersebut mengalami kecederaan yang memaksa mereka untuk sekadar duduk di kerusi simpanan.

Situasi itu kini menyelubungi penyerang import pasukan Kelantan FC, Nixon Guylherme Brizolara yang mengakui sedih kerana tidak dapat turun padang bersama rakan sepasukannya pada aksi Liga Primier, menentang Johor Darul Takzim II, Jumaat.

Difahamkan, pemain kelahiran Brazil tersebut mengalami kecederaan otot sekali gus direhatkan daripada perlawanan di Stadium Sultan Mohammad IV.

Bagaimanapun, Guylherme Brizolara sedia menitipkan doa kepada rakan sepasukannya agar mereka mampu terus meluaskan jurang mata liga pada aksi laman sendiri itu.

"Saya sangat sedih kerana sekali lagi saya terlepas beraksi. Saya tidak dapat membantu rakan saya dalam permainan hebat menentang JDT II hari ini (Jumaat).

Nixon Guylherme (jersi nombor 9) sedih tidak dapat menunjukkan taringnya pada aksi menentang JDT II pada Jumaat. — Facebook/Nixon Guylherme 9

"Tapi saya akan sentiasa mendoakan kejayaan kami. Doakan saya agar dapat kembali berentap di atas pandang," katanya dalam sebuah kenyataan di laman Facebook rasminya.

Rata-rata peminat dilihat memberikan kata-kata semangat dan mendoakan pemulihan kesihatan pemain kesayangan mereka itu.

Skuad kendalian Rezal Zambery Yahya itu kini berada di kedudukan pendahulu Liga Premier dengan mengumpul 25 mata setelah mencatatkan kemenangan berturut-turut pada tiga perlawanan lalu.

Terdahulu, Rezal berkata, beliau tidak mementingkan jumlah jaringan gol yang disumbangkan oleh Kelantan FC, sebaliknya hanya berharap supaya pasukan itu mampu mengumpul tiga mata penuh ketika menentang JDT II.

Sementara itu, pasukan JDT II yang berada di kedudukan ketiga liga dengan ketinggalan empat mata dibelakang Kelantan FC.

Diapit kedua-dua pasukan adalah pasukan T-Team di tempat kedua dengan 23 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram