Remaja 13 tahun pandu Triton cuba larikan diri selepas terlibat 3 kemalangan


  • Benua
  • Ahad, 17 Jul 2022

Remaja itu ditahan selepas kereta yang dipandunya terbabas melanggar sebatang pokok. — Agensi

SEORANG remaja berusia 13 tahun ditahan selepas membawa sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton secara berbahaya hingga melanggar seorang penungang motosikal.

Kejadian di Kabupaten Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia pada Sabtu lalu itu mengakibatkan mangsa, yang menaiki motosikal jenis Honda mengalami kecederaan patah tangan kanan.

Ketua Polis Banjar, Iptu Suwarji berkata, kenderaan itu dipandu remaja tersebut dari arah Martapura menuju ke Banjarbaru.

"Namun, kenderaan itu telah melanggar mangsa dari arah belakang hingga mengakibatkannya terbabas.

"Remaja itu kemudian cuba lari dengan memandu ke arah Sungai Ulin sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok," katanya.

Menurut Suwarji, suspek juga nyaris dipukul beberapa penduduk di kawasan tersebut sebelum pihak berkuasa sampai.

Jelasnya, remaja itu kemudian dibawa ke balai polis untuk soal siasat sebelum diserahkan kepada penjaganya disebabkan dia masih di bawah umur.

Dalam pada itu, seorang saksi yang dikenali dengan nama Sa'bani berkata, remaja itu sebenarnya sudah terlibat dengan tiga kemalangan di lokasi berbeza sebelum itu.

"Apa yang saya tahu, kenderaan itu telah melanggar orang di jambatan Sungai Paring hingga mengakibatkan mangsa patah tangan. Kemudian terlibat kemalangan di Gantung Alaban dan yang terakhir di daerah Sekumpul.

"Beberapa penunggang motosikal sudah mula mengejarnya dari arah Martapura lagi dan itu sebabnya dia cuba melarikan diri," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram