Tewas dengan JDT, tak perlu tuding jari salahkan pengadil — Pengurus kelab


  • Podium
  • Ahad, 17 Jul 2022

Insiden provokasi ketika perlawanan antara pemain JDT dan Sabah FC di Stadium Likas pada Jumaat lalu. — Facebook

KEKALAHAN Sabah FC menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Likas,Sabah yang diadakan Jumaat lalu ternyata memberi kesan pada penyokong skuad Sang Badak.

Malah ketelusan pengadil saat menjalankan tugas dalam perlawanan turut dipertikaikan dan dikatakan berat sebelah oleh peminat bola sepak Sabah.

Mengulas isu terbabit, pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir bagaimanapun tidak mahu menyalahkan sesiapa.

"Saya tak nak ulas pasal pasal isu pengadil sebab perkara ini sensitif.

"Saya juga tak nak tuding jari pada siapa-siapa kerana ini adalah team sport. Saya harap selepas ini akan ditingkatkan lagi mutu pengadilan untuk kebaikan liga.

"Kita bergantung pada laporan Referee Association (RA) dan kita juga harap Malaysian Football League (MFL) dapat menilai laporan tersebut dengan adil," katanya kepada Majoriti.

Marzuki

Marzuki berharap mutu pengadilan dapat ditingkatkan lagi pada masa depan untuk kebaikan liga. — Facebook

Pada masa sama, beliau turut memuji pemain Sabah FC yang sentiasa melawan asakan demi asakan daripada pasukan JDT.

"Seperti yang kita tahu JDT merupakan pasukan yang berkualiti tapi pasukan kita lawan sehingga penghujung permainan.

"Pemain pasukan Sabah FC memberikan yang terbaik dan dari segi komitmen pemain, mereka berusaha tapi begitulah adat pertandingan.

"Kita kalah saat akhir, jadi itu akan jadi pengajaran yang perlu diperbaiki pada perlawanan akan datang," katanya.

Pasukan Sabah FC kalah 2-1 di laman sendiri yang menyaksikan skuad itu hanya berpuas hati di kedudukan kedua carta Liga Super 2022 dengan 22 mata.

Harimau Selatan terus kekal sebagai penyandang carta dengan jumlah 26 kutipan mata menerusi 10 perlawanan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram