Enggan terluka lama-lama, Sang Badak bersedia awal layan kunjungan Terengganu


  • Podium
  • Isnin, 18 Jul 2022

Sabah FC sudah mula kembali menjalani latihan bagi persiapan berdepan dengan Terengganu FC. — Facebook.

SKUAD Sang Badak kembali menjalani latihan bagi persiapan berdepan dengan Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada Selasa.

Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu akan berdepan dengan Terengganu FC pada perlawanan seterusnya.

"Kita dah mulakan latihan untuk semua permain pada Ahad dan pada masa sama, kita akan lihat serta perbaiki kelemahan pada perlawanan sebelum ini.

"Kita kena bangkit untuk menaikkan kembali semangat pasukan dan juga penyokong,"katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata, skuad Sang Badak perlu mengutip mata kemenangan dalam pertemuan itu.

"Dalam bersaing dalam Liga Super kita perlu menanglah dalam perlawanan lawan Terengganu nanti.

"Kami akan cuba memberikan yang terbaik untuk perlawanan untuk lawan skuad Sang Penyu. Kita juga akan tampilkan skuad terbaik untuk menentang lawan pada perlawanan ini," katanya.

Pasukan Sabah FC kini berada di kedudukan kedua dalam Liga Super Malaysia dengan kutipan 22 mata, ketinggalan empat mata di belakang penyandang, Johor Darul Takzim (JDT) yang mengumpul 26 mata.

Manakala Terengganu FC berada di kedudukan yang keempat dengan kutipan 16 mata yang diraih menerusi sembilan perlawanan setakat ini. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram