KEMENANGAN skuad bola sepak negara bawah 19 tahun (B-19) negara dalam kejuaraan B-19 AFF 2022 mengejutkan ramai pihak apatah lagi harapan tidaklah diletakkan begitu tinggi kepada mereka.
Malah, pertemuan menentang Laos pada pusingan akhir juga adalah perlawanan kedua selepas skuad negara tewas kepada pasukan itu pada peringkat kumpulan.
Bermain mati-matian, skuad kendalian Hassan Sazali akhirnya beroleh kemenangan sekaligus membuatkan seluruh skuad muda itu menjadi perhatian negara.
Semestinya kemenangan mereka dianggap sebagai permulaan yang baik untuk negara menghasilkan pemain baharu yang boleh diangkat ke skuad senior.
21 pemain dibawah kendalian Hassan Sazali berjaya merangkul kejuaraan AFF B-19. — Facebook/FAM
Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri berkata, kejohanan B-19 tidak boleh menjadi pembayang sebenar mengenai masa depan skuad negara.
"Perjalanan mereka masih jauh dan majoritinya gagal menempatkan diri dalam barisan elit.
"Ini bukan kritikan, tetapi realiti pasukan B-19 adalah satu pasukan pembangunan selari dengan kejohanan AFF yang dijalankan setiap tahun.
"Maka, akan ramai pemain bawah umur yang menyertai skuad ini untuk membina 'piramid' bawah dan hanya sedikit yang terbaik akan berjaya.
"Skuad B-19 tidak akan dibina untuk tempoh yang lama dengan kumpulan pemain yang sama. Itu kaedahnya," katanya.
Kesebelasan utama skuad B-19 negara yang beraksi menentang Laos di peringkat akhir kejuaraan AFF B-19 di Indonesia. — Facebook/FAM
Menurut Zuraimi, realiti cabaran sebenar bagi pemain muda ini adalah untuk bergelar seorang pemain liga profesional, bukan kejayaan mewakili skuad senior negara.
Jelasnya, walaupun mereka adalah juara skuad negara junior, Malaysia tidak mempunyai program pembangunan pemain elit kecuali Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
"Program pembangunan pemain elit di Piala Belia dan Piala Presiden juga tiada. Sekadar liga cukup syarat," katanya.
Melihat kepada apa yang diperkatakan Zuraimi, sebenarnya perjalanan pemain B-19 tahun sebenarnya masih jauh dan mereka sepatutnya fokus untuk dapat bergelar seorang pemain liga profesional.
Tahap permainan dan pemilihan untuk beraksi di liga profesional sebenarnya yang akan menentukan kemampuan sebenar mereka.
Jika mereka sekadar dipilih mewakili negara untuk skuad B-19 dan tiada laluan lain selepas itu, maka negara tetap akan ketandusan pemain muda yang boleh dipilih untuk beraksi bagi skuad senior negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram