Wakil Malaysia harungi Piala Dunia 2022, mahu tundukkan England


  • eSports
  • Isnin, 18 Jul 2022

LuqmanHzq dan AkmalJHD berjaya menempah slot ke FIFAe Club World Cup 2022 apabila menewaskan satu lagi pasukan GBX Esports pada bulan lalu. — Facebook / GBX Esports

BERBAKI 2 hari lagi FIFAe Club World Cup 2022 akan membuka tirainya di Bella Arena, Copenhagen, Denmark dan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 20-23 Julai 2022 bakal diwakili pasukan tanah air negara, GBX Esports.

Pasukan GBX Esports yang dianggotai oleh Luqman Haziq Hajiman (LuqmanHzq) dan Ahmad Akmal Abd Rafil (AkmalJHD) berjaya menempah slot ke FIFAe Club World Cup 2022 apabila menewaskan satu lagi pasukan GBX Esports pada bulan lalu.

Sejurus memenangi perlawanan itu, GBX Esports mengesahkan slot itu kerana dua pasukan terbaik layak untuk ke kejohanan tersebut.

Ini merupakan penampilan pertama buat GBX Esports di pentas FIFAe Club World Cup 2022 dan cabaran yang hebat bakal menanti dua pemuda tersebut.

GBX Esports diundi bersama-sama 5 pasukan gergasi di dalam kumpulan D yang mana mereka adalah pasukan NEO, TEAM GULLIT, DUX AMERICA, FNATIC dan DIRE WOLVES.

292159905_442241587908236_5684196579511014874_n

GBX Esports sedang membuat persiapan rapi bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan tersebut. Facebook / GBX Esports

Menurut salah seorang anggota GBX Esports, Luqman Haziq Hajiman, dia berasa sangat teruja kerana dapat menyertai kejohanan berprestij FIFAe Club World Cup 2022 yang akan bermula pada Rabu.

"Saya kini berasa sangat teruja dan gembira kerana dapat bersaing di dalam FIFAe Club World Cup 2022.

"Ini kerana dalam kejohanan tersebut saya dapat bersama pemain-pemain FIFA yang bertaraf dunia, ini juga merupakan pertandingan face to face yang pertama sejak berlakunya pandemik Covid-19," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, pasukan GBX Esports sedang membuat persiapan rapi bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan tersebut dan mahu lakukan yang terbaik dalam pertandingan itu.

"Kini kami sedang membuat persiapan yang lebih rapi dari segi taktikal permainan yang akan kami gunakan di dalam kejohanan tersebut.

"Walaupun untuk memenangi kejohanan ini perjalanan itu masih jauh dan sukar tapi saya pasti kami akan melakukan persembahan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara," jelasnya.

292430687_443062254492836_2087569061019152886_n

Kesemua perlawanan peringkat kumpulan yang melibatkan GBX Esports akan disiarkan secara rasmi di Facebook GBX Esports dan Gamesbond. Facebook / GBX Esports

Apabila ditanya tentang pasukan lawan GBX Esport dalam kumpulan D yang mana perlu diawasi, Luqman Haziq berkata, semua pasukan perlu diawasi di dalam kumpulan D dan berharap dapat memberikan yang terbaik.

"Kelima lima pasukan dalam kumpulan kami mempunyai pencapaian yang hebat dalam arena FIFA tetapi tumpuan pasukan kami pasti pada pasukan FNATIC dari England.

"Harapan saya bersama pasukan GBX dalam kejohanan ini adalah enjoy the tournament ini dan berikan persembahan yang akan menghiburkan buat semua penyokong kami di Malaysia," ujarnya.

Kesemua perlawanan peringkat kumpulan yang melibatkan GBX Esports akan bermula pada pukul 12:05 pagi (21 dan 22 Julai) sehingga pukul 2:30 pagi waktu tempatan dan perlawanan tersebut akan disiarkan secara rasmi di Facebook GBX Esports dan Gamesbond.

Kejohanan FIFAe Club World Cup 2022 menawarkan hadiah bernilai USD 300,000 (RM 1.2 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram