Suami cakar muka isteri, berang dimarah asyik main judi


  • Benua
  • Selasa, 05 Jul 2022

Seorang suami yang ketagihan judi online bertindak mencakar muka isterinya selepas ditegur.

SEORANG suami tergamak mencakar muka isterinya selepas berang ditegur kerana terlalu kerap bermain judi online.

Kejadian berlaku di Desa Luwuk, Kabupaten Pasuruan, Indonesia melibatkan suspek yang berusia 27 tahun dan mangsa, 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasuruan, Aipda Agung Kurnia berkata, mangsa pada mulanya berasa marah kerana suspek sering menghabiskan duit untuk bermain judi online.

"Mangsa marah pada suspek kerana terlalu banyak duit yang dihabiskan untuk judi dan merasakan lebih baik wang itu digunakan untuk keperluan keluarga.

"Suspek yang berang telah mengambil tindakan memukul serta mencakar muka mangsa sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut bermula pada April lalu dan pada awalnya, mangsa enggan membuat sebarang laporan polis.

Namun katanya, mangsa nekad berbuat demikian selepas tidak tahan dengan sikap suaminya.

"Saya penat. Sudah dua tahun kami berumah tangga dan akhirnya saya dicederakan olehnya. Itu yang buat saya nekad membuat laporan polis," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram