Kalau tak faham juga, tak tahulah — Faisal Halim


  • Podium
  • Selasa, 05 Jul 2022

Samassa (kiri) dilihat berang dengan tindakan Faisal dalam aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan Terengganu FC pada Ahad. — Facebook

PERDEBATAN penyokong bola sepak mengenai punca insiden pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Muhammad Faisal Halim yang dilihat membuat provokasi ‘menganjing’ terhadap penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa pada aksi Liga Super, Ahad lalu mungkin akan menjadi semakin rancak.

Ini kerana pemain berusia 24 tahun tersebut dilihat cuba membela dirinya dengan memberi bayangan kepada netizen di akaun Instagram peribadinya dengan memuat naik sebuah video berdurasi 43 saat yang menunjukkan detik panas dia dan Samassa.

Video asal yang dikongsi menerusi akaun Tik Tok @Terengganufanclub memaparkan keadaan sebelum dan selepas insiden jaringan penalti Muhammad Faisal Halim pada minit ke-80.

Dalam video tersebut, penjaga gol kebangsaan Mali berkenaan kelihatan seperti sedang membisikkan sesuatu kepada Faisal sebelum jaringan penalti dilakukan.

Pada bahagian caption video tersebut, tertulis "member mung jenis gini.., ye ngata orang buleh, orang balas ye koyak (kawan anda jenis begini, mengata orang boleh, tapi bila dibalas, dia yang panas).." dan kenyataan itu disokong Faisal dengan kapsyen, "Kalau tak faham juga, tak tahulah".

Faisal Ig

Bahagian 'sebelum' yang menyaksikan Samassa membisikkan sesuatu kepada Faisal. — Instagram

Faisal Ig 2

Bahagian 'selepas' yang dipaparkan video berdurasi 43 minit tersebut. — Instagram

Ahad lalu, Faisal dilihat sempat membuat provokasi ‘menganjing’ Samassa yang gagal menyelamatkan sepakan penalti pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pemain yang turut dikenali dengan nama Mickey tersebut mengajuk kembali tindakan penjaga gol import itu sekali gus mengakibatkan pemain import berkenaan berang lalu cuba mengejarnya.

Bagaimanapun, beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan berjaya meredakan keadaan dengan menghentikan Samassa sebelum situasi menjadi lebih buruk.

Tindakan Faisal tersebut menerima kecaman teruk daripada penyokong-penyokong Pahang kerana dianggap tidak menghormati bekas pasukan yang pernah diwakilinya sebelum berhijrah ke pasukan Terengganu.

Majoriti sebelum ini turut memetik pandangan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh terhadap insiden tersebut yang mendakwa Faisal boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Perbuatan tersebut dikatakan boleh dianggap sebagai 'unsporting behavior' yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain dan penonton kedua-dua pasukan.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu menyaksikan pasukan tuan rumah mengutip tiga mata berharga apabila menang 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram