MAYAT wanita hamil yang disahkan hilang susulan kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Kedah, pada Isnin ditemui dalam keadaan berpelukan dengan ibu mentuanya yang menghidap penyakit strok.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saadon memaklumkan mayat Nurul Anis Abu Hassan, 23 tahun, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53 tahun, ditemui kira-kira pukul 9.30 pagi Selasa.
Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemui anggota bomba di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang dihanyutkan arus deras.
"Untuk hari ini, kita fokus pencarian dalam radius awal, lebih kurang 100 meter dari kawasan rumah mereka dan Alhamdulillah, dalam pukul 9.30 pagi mangsa berjaya dikesan anggota pasukan STORM.
"Mereka nampak kaki mangsa yang terperangkap di dalam (atau) bawah bongkah kayu, berkemungkinan mangsa hanyut bersama bongkah kayu dan tersangkut di kawasan yang kita temui itu.
"Apabila dikeluarkan, ada seorang mangsa di situ. Mangsa pertama adalah wanita mengandung Nurul Anis, dan di bawah mangsa pertama tadi ditemui mangsa kedua.
"Kedua-dua mangsa ditemui berpelukan, di lokasi sama dalam tempoh sama. Lima belas minit kemudian, mangsa kedua berjaya dikeluarkan selepas mangsa pertama dikeluarkan," katanya.
Sayani berkata, demikian ketika ditemui media di Kampung Iboi, Kedah pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Sayani memaklumkan, operasi pencarian mangsa ketiga, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14 tahun, sedang giat dijalankan.
Setakat ini, jelasnya, pasukan penyelamat juga berjaya menyelamatkan 155 mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir serta kepala air itu. — Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram