Banjir kilat di Baling sudah dijangka sejak 2019 tapi siapa yang alpa?


  • Massa
  • Selasa, 05 Jul 2022

Tangkap layar video keadaan banjir yang berlaku di Baling baru-baru ini.

RAKYAT sudah meramal bahawa projek ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling, Kedah sememangnya memberi kesan buruk kepada alam sekitar, terutamanya bencana banjir ketika ini.

Kebimbangan itu sebelum ini disuarakan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), yang mengingatkan bahawa kerosakan alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup penduduk tempatan tidak boleh dipandang ringan.

Persatuan itu merujuk kepada laporan media mendedahkan mengenai kelulusan penggondolan dan penanaman durian di Gunung Inas, daerah Baling yang telah menjejas kualiti kehidupan hampir 3,000 warga penduduk tempatan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kerosakan ke atas sungai, mendapan dan kemusnahan kawasan tadahan air sukar dipulihkan.

"Pihak berkuasa masih tidak menerima hakikat bahawa keseimbangan ekologi adalah sangat penting dipelihara dan ia juga sangat sensitif.

"Membalak, menanam pokok yang lain, dan menggondolkan gunung dan bukit bakal mengundang kerosakan pelbagai aspek alam sekitar dan akhirnya memberi impak kepada penduduk di persekitaran sekaligus penduduk di luar kawasan, " katanya.

Menurutnya, kerajaan Kedah juga perlu menyiasat kemungkinan kaitan projek berkenaan dengan banjir lumpur di kampung berdekatan dan jika terbukti, pihak terlibat perlu membayar ganti rugi kerana menjadi penyebab merosakkan harta benda penduduk.

Namun, kebimbangan itu seolah-olah tidak diendahkan dan menjadi kenyataan apabila baru-baru ini sebuah video tular memaparkan, sebuah sekolah dan bangunan berhampiran kawasan tersebut mengalami banjir.

Ia sekali gus memberi kekhuatiran kepada para pelajar dan kakitangan sekolah terbabit.

Turut tular, video air banjir deras seolah-olah kepala air melanda kawasan berdekatan gunung tersebut selain memberi kesan kepada kediaman penduduk setempat.

Selain itu, video itu turut menunjukkan beberapa batang pokok tumbang menyembah bumi, menambahkan lagi risiko bahaya kepada penduduk.

Malah, terdapat video memaparkan pokok tumbang di atas jalan raya, yang menyebabkan laluan orang ramai terhalang.

Kesemua video tersebut dimuat naik semula oleh seorang guru dikenali sebagai Cheq Lie di laman Facebook.

"Projek kat atas Gunung Inas tu. (Ladang) Musang King 30,000 ekar Kedah Agro. Ranting-ranting ja yang turun.

"Gunung Inas perlu diselamatkan. Kerajaan Kedah perlu siasat dan bertindak," katanya.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada Februari tahun lalu menjelaskan, kerajaan negeri sudah mengarahkan projek ladang durian itu dihentikan pada Julai 2020.

Kerajaan negeri juga telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terlibat daripada semua agensi bagi menyiasat dakwaan kewujudan ladang durian terbesar dunia itu seperti didakwa.

Katanya, perkara itu merupakan isu lama yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Malah laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada Selasa mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, Kedah pada Isnin.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya, terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

Beliau berkata tujuan pembangunan ladang hutan itu adalah bagi penanaman semula, yang setakat ini melibatkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.

"JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak yang dijalankan pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram