12 mayat ditemui dalam kejadian kapal pecah dua


  • Benua
  • Selasa, 05 Jul 2022

Keadaan kapal kejuruteraan yang pecah dua selepas taufan membadai Laut China Selatan pada Sabtu. — Agensi

SEBANYAK 12 mayat ditemui susulan kejadian kapal pecah dua, ketika taufan membadai Laut China Selatan pada Sabtu.

Pihak berkuasa China membuat pengumuman pada Isnin, selepas sebuah kapal kejuruteraan yang berada di kedudukan 160 batu nautika di barat daya Hong Kong itu mengalami kerosakan besar dan menyebabkan 30 anak kapalnya hilang.

"Sehingga 3.30 petang 4 Julai, pasukan penyelamat menemui 12 mayat, dipercayai mangsa lemas di kawasan sekitar 50 batu nautika di barat daya lokasi kapal itu karam.

"Jabatan berkaitan sedang membuat pengesahan identiti," kata Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim Guangdong.

Seramai tiga orang berjaya diselamatkan pada Sabtu, seorang lagi pada awal pagi Isnin, manakala 26 yang lain masih belum diketahui status mereka, menurut media kerajaan China.

Rakaman dramatik yang disediakan oleh pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan seorang mangsa dinaikkan ke helikopter, manakala ombak menghempas geladak kapal yang separuh tenggelam.

Tiga mangsa yang terselamat memaklumkan, anak kapal lain mungkin dihanyutkan ombak sebelum helikopter pertama tiba.

Taufan Chaba sebelum ini terbentuk di bahagian tengah Laut China Selatan dan ia melanda wilayah Guangdong, dekat selatan China pada Sabtu petang.

Pasukan penyelamat di Hong Kong dimaklumkan mengenai tragedi itu pada pukul 7.25 pagi waktu tempatan pada Jumaat dan menemui kapal itu berhampiran pusat Chaba, dalam keadaan cuaca buruk.

Pada masa ini, tujuh pesawat, 246 bot dan 498 kapal nelayan telah dihantar untuk mencari mangsa yang masih hilang, kata kenyataan pada Isnin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram