27 kru hilang selepas kapal pecah dua dibadai taufan


  • Benua
  • Sabtu, 02 Jul 2022

Keadaan kapal yang pecah dua akibat taufan membadai Laut China Selatan pada Sabtu. — Agensi

KIRA-KIRA 27 anak kapal masih belum ditemui selepas kapal mereka pecah dua, ketika taufan membadai di Laut China Selatan pada Sabtu ketika anggota penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut pihak berkuasa Hong Kong, kapal kejuruteraan yang berada di kedudukan 160 batu nautika di barat daya Hong Kong itu 'mengalami kerosakan besar dan pecah menjadi dua bahagian', sekali gus memaksa 30 anak kapal meninggalkannya.

Tiga mangsa diselamatkan setakat pukul 3 petang waktu tempatan (0700 GMT) dan dibawa ke hospital untuk rawatan, kata pihak berkuasa.

Rakaman dramatik yang disediakan oleh pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan seorang mangsa dinaikkan ke helikopter, manakala ombak menghempas geladak kapal yang separuh tenggelam.

Tiga mangsa yang terselamat memaklumkan, anak kapal lain mungkin dihanyutkan ombak sebelum helikopter pertama tiba.

Taufan Chaba sebelum ini terbentuk di bahagian tengah Laut China Selatan dan ia melanda wilayah Guangdong, dekat selatan China pada Sabtu petang.

Pasukan penyelamat di Hong Kong dimaklumkan mengenai tragedi itu pada pukul 7.25 pagi waktu tempatan pada Jumaat dan menemui kapal itu berhampiran pusat Chaba, dalam keadaan cuaca buruk.

Selain itu, disebabkan terdapat tiupan angin kencang di kawasan itu, operasi SAR menjadi 'lebih sukar lagi berbahaya'.

Pihak berkuasa berkata, lokasi kapal itu merekodkan kelajuan angin 144 kilometer sejam (km/j) dan ombak setinggi 10 meter.

Perkhidmatan Penerbangan Kerajaan menghantar dua kumpulan pesawat dan empat kumpulan helikopter, dengan pihak berkuasa tanah besar China turut menghantar bot penyelamat.

Pasukan penyelamat berkata, mereka akan memperluaskan kawasan pencarian, dengan mengambil kira 'bilangan individu yang hilang masih ramai' dan dijangka turut melanjutkan operasi sehingga malam jika keadaan mengizinkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram