Singapura lapor kes pertama cacar monyet


  • Benua
  • Rabu, 22 Jun 2022

Virus itu dikesan pada seorang pramugara warga Britain berusia 42 tahun yang disahkan positif pada 20 Jun 2022. — Gambar hiasan/Agensi

SINGAPURA muncul antara kira-kira 42 negara yang melaporkan jangkitan cacar monyet sejak kali terakhir negara itu diserang virus tersebut pada Mei 2019.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan negara itu yang melaporkan kes import pertama cacar monyet pada Selasa.

Virus itu dikesan pada seorang pramugara warga Britain berusia 42 tahun yang disahkan positif pada 20 Jun 2022 dan kini berada dalam keadaan stabil di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan Singapura.

Kes terbaharu membabitkan pramugara terbabit dan 12 krew penerbangan lain yang dikelaskan sebagai kenalan rapat dan kini dalam kuarantin.

Suruhanjaya Tinggi British di Singapura dikatakan sedang berbincang dengan syarikat penerbangan itu dan pihak berkuasa tempatan untuk membantu menghantar pulang kru penerbangan.

Dalam satu kenyataan melalui e-mel, British Airways berkata, mereka akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan dan memberikan sokongan kepada anak kapal.

Menurut data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit cacar monyet yang biasanya membawa kepada simptom seperti demam dan ruam, telah menyebabkan lebih 2,100 kes ditemui di seluruh dunia pada pertengahan Jun.

Majoriti kes telah dilaporkan di Eropah, yang mana kes juga meningkat di Australia dan Amerika Syarikat.

Jelas WHO lagi, transmisi cacar monyet biasanya memerlukan sentuhan langsung dengan cecair badan, kudis berjangkit atau bahan tercemar.

Gejala biasanya berlangsung selama dua hingga empat minggu, sementara beberapa kes yang teruk juga boleh membawa maut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram