Terjatuh lubang sedalam 24 meter, budak terperangkap ditemani ular dan katak selama 4 hari


  • Benua
  • Rabu, 15 Jun 2022

Rahul dibawa keluar dari terowong dengan menggunakan pengusung oleh anggota pasukan penyelamat. — Agensi

SEORANG kanak-kanak berusia 10 tahun berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat selepas terperangkap selama empat hari dalam lubang sedalam 24 meter di daerah Janjgi-Champa, Chhattisgarh, India pada Selasa.

Kanak-kanak yang dikenali dengan nama Rahul Sahu itu berjaya diselamatkan pada tengah malam Selasa dalam operasi yang melibatkan kira-kia 500 orang termasuk anggota penyelamat itu.

Rahul dibawa keluar dari terowong dengan menggunakan pengusung oleh anggota pasukan penyelamat dan kemudian, dia dibawa ke Hospital Apollo di Bilaspur, Chhattisgarh, India untuk menerima rawatan.

“Ia adalah kajayaan bersama, Rahul kini stabil dan kami memberikan rawatan terbaik kepadanya,” kata salah seorang anggota penyelamat, Jitendra Shukla selepas operasi menyelamat.

Jitendra juga memuji Rahul kerana semangat juangnya dalam keadaan sukar.

Dia mendedahkan bahawa terdapat seekor ular dan katak di sebelah budak lelaki itu, fakta yang disembunyikan oleh pihak penyelamat untuk mengelakkan panik.

Ketua Menteri, Bhupesh Baghel, yang memantau kejadian tersebut dengan teliti sejak empat hari lalu, menulis ciapan di Twitter bahawa ucapan selamat dan usaha gigih serta komited oleh pasukan penyelamat telah membawa kepada kejayaan operasi itu.

Beliau juga mendoakan Rahul semoga cepat sembuh.

Sementara itu, doktor yang merawat Rahul berkata, mereka akan memantau keadaan kanak-kanak itu dengan teliti.

Rahul menunjukkan daya tahan semasa misi menyelamatkannya dijalankan, namun menjadi lemah dengan ketara disebabkan pengambilan makanan dan cecair yang terhad.

Pendedahan berpanjangan kepada air dan lumpur di dalam lubang juga. boleh menyebabkan beberapa masalah kulit.

Pasukan dari Tentera Darat, Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri, dan pentadbiran tempatan terlibat dalam operasi yang menyaksikan penggalian lubang dalam, selari dengan lubang yang mana Rahul terperangkap, dan menghubungkan kedua-duanya melalui terowong.

Bagaimanapun, menggali lubang dalam di kawasan berbatu sentiasa memberikan pelbagai cabaran termasuk runtuhan tanah.

Pasukan juga terpaksa meminta penduduk kampung untuk mengepam air keluar secara berterusan melalui lubang lain yang berdekatan kerana takungan air bawah tanah yang cepat bertambah mungkin berbahaya pada kedalaman di mana Rahul berada.

Selepas jengkaut melakukan tugas mereka, pasukan darat, dilengkapi mesin gerudi menyelesaikan bahagian terakhir terowong.

Menurut pasukan penyelamat, penggalian pada 0.4 meter terakhir amat mencabar kerana ia melibatkan jentera melalui batu keras dan sebarang kesilapan boleh menyebabkan kemalangan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram