Budak 4 tahun maut direnjat elektrik wayar terdedah


Foto:
  • Benua
  • Selasa, 14 Jun 2022

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota kecemasan perubatan. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Tebatso Thabang Makhata, dari kampung Burgersdorp di Limpopo, Afrika Selatan maut selepas terkena renjatan elektrik dengan wayar hidup yang terdedah pada petang Ahad.

Menurut jurucakap polis, Lt-Kol Mamphaswa Seabi, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.

Katanya, kanak-kanak itu dipercayai berjalan bersama adik-beradiknya dari rumah ibu saudara mereka di kampung yang sama ketika kejadian tragis itu berlaku.

“Kanak-kanak itu berlari pulang ke rumah memaklumkan kepada ibu mereka bahawa adik lelaki mereka terkena renjatan pada wayar hidup terbuka yang terdedah di atas tanah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota kecemasan perubatan. Polis membuka kes inkues untuk siasatan lanjut,” kata Seabi.

Pesuruhjaya wilayah polis Limpopo, Lt-Gen Thembi Hadebe menggesa penduduk melaporkan aktiviti haram termasuk penyambungan elektrik haram kepada polis bagi mengelak kejadian serupa berlaku.

“Siasatan polis masih diteruskan,” kata Seabi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram