RAKAN Pengasas Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin bahawa, tetamu yang hadir di rumah Siti Bainun Ahd Razali disajikan makanan ‘king crab’ namun seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella didera dengan memakan cili.
Saksi kelapan pendakwaan yang juga Pegawai Penyelidik Undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam berkata demikian ketika prosiding kes menganiaya Bella membabitkan Siti Bainun, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Ketika berada di sebuah kondominium di Wangsa Maju, saksi berusia 40 tahun itu berkata, kejadian itu berlaku dalam dua kejadian berasingan iaitu pada Mei dan Jun 2021.
Menceritakan kejadian itu, saksi berkenaan berkata, sering ke kondominium yang didiami Siti Bainun di Wangsa Maju, namun keadaan Bella paling teruk adalah pada 13 Jun 2021.
Beliau berkata, ketika melihat muka Bella, ada kesan lebam sebesar tapak tandan dari kening sehingga bawah mata.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, saksi itu berkata, dia juga mendapati rambut remaja malang itu dipotong pendek hingga ‘tobek’ dan kelihatan ketakutan.
Nor Azizah: Kenapa kamu ke kondominium pada tarikh itu?
Suhana: Siti Bainun ajak makan 'king crab' untuk 'shell out', saya tiba di rumah itu dengan Haiza, pada pukul 5 petang. Setibanya di sana, saya terkejut dengan keadaan Bella, bila ditanya, Siti Bainun jawab ‘mereka bergaduh’.
Nor Azizah: Selepas itu apa yang terjadi?
Suhana: Saya tanya kenapa tak bawa Bella ke klinik, tapi Siti Bainun kata, dia dah letak ubat pada Bella. Saya tak tanya lagi, sebab tak nak bergaduh, saya terus duduk dan tengok Bella beberapa kali, dalam hati rasa ada yang tak kena.
Nor Azizah: Jadi seterusnya apa yang berlaku?
Suhana: Tak ingat jam berapa, dua lagi rakan kami tiba, kami tunggu hingga malam, sebab Siti Bainun cakap nak masak. Dia dibantu oleh penghuni rumah itu, iaitu Aida, Balqis dan Yasmin, bila nak makan, tetamu dan Siti Bainun duduk di meja makan namun penghuni rumah itu tidak diajak untuk makan bersama.
Nor Azizah: Bella macam mana?
Suhana: Dia tak disuruh ambil makanan, macam dibiarkan sahaja, berdiri di tepi dinding, saya mula rasa bersalah, tapi pada saya, waktu itu bukan waktu yang sesuai untuk membangkitkan isu Bella dengan Siti Bainun.
Selain itu, saksi ini berkata, pada bulan Mei tahun sama, Siti Bainun pernah memegang dagu remaja sindrom Down itu dan memaksanya untuk makan nasi goreng bercampur cili.
Beliau berkata, pernah melihat Siti Bainun meletak cili potong dalam nisbah yang banyak, dalam nasi goreng.
“Saya tak tanya lebih lanjut dengan Siti Bainun sebab saya bimbang dengan reaksinya pada saya atau keselamatan Bella.
“Jika saya buat laporan, bolehkah pihak berkuasa datang dan ambil Bella pada perjumpaan pertama, jadi saya tunggu waktu yang sesuai untuk ambil tindakan,” katanya.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Siti Bainun, Nur Ellena Mohamed Razif yang menyatakan tiada keperluan untuknya membuat laporan selepas melihat keadaan Bella, saksi itu berkata tidak setuju.
Pada prosiding pagi Isnin, saksi itu memaklumkan bahawa, selepas ‘shell out’, dia bermalam di kondominium itu dan menunggu untuk menonton perlawanan bola sepak UEFA.
Nur Ellena: Kamu ada beritahu mahkamah sebelum ini, lepas makan, kamu dan Siti Bainun lepak bersama, berbual dari jam 12 tengah malam sambil menunggu untuk menonton perlawanan bola sepak.
Suhana: Ya.
Nur Ellena: Masa itu kamu ada dengan Siti Bainun sahaja, kamu ada peluang untuk tanya tentang keadaan Bella, setuju tak?
Suhana: Tidak Setuju.
Nur Ellena: Sepanjang malam, kamu teruskan tengok bola, tak tengok Bella di bilik dobi.
Suhana: Setuju.
Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam Datuk Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili Siti Bainun, saksi itu berkata, sepanjang perkenalannya dengan Siti Bainun, bermula 2009 hingga 2022, dia pernah melihat remaja itu didera oleh tertuduh.
Bentuk penderaan itu katanya, adalah seperti makan cili, dijerit, berdiri dan duduk selama berjam-jam.
Bagaimanapun katanya, tidak pernah melihat Bella dipukul dengan besi langsir atau disimbah air panas oleh Siti Bainun.
Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun.
Prosiding bersambung petang ini. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram