Menu rendang babi kembali tular, pemilik kedai akui tak bermaksud hina budaya sesiapa


  • Benua
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Kedai makan online Babiambo yang menjual rendang babi sudah ditutup selepas tiga bulan beroperasi.

ADA dua sahaja jenis masakan rendang yang sering menjadi hidangan iaitu rendang daging dan ayam.

Namun, ada pula yang cuba menggunakan babi sebagai bahan utama dalam masakan yang cukup sinonim dengan bangsa Melayu.

Itu yang berlaku di Indonesia dan menurut pemilik kedai makan online Babiambo yang menyediakan rendang babi itu, Sergio, dia tidak berniat mahu menghina budaya bangsa tertentu.

"Saya sebenarnya suka sangat dengan masakan Padang dan disebabkan itu saya memilih untuk menyediakan rendang babi.

"Lagipun ketika itu saya berfikir untuk melakukan satu resipi baharu dan masih belum ada lagi rendang babi sedangkan saya memang gemar dengan masakan rendang," katanya yang sebelum ini beroperasi secara online.

Menurut Sergio, kedai makannya itu bagaimanapun sudah tidak beroperasi dan hanya bertahan selama tiga bulan selepas mendapat kecaman masyarakat.

"Saya sebenarnya ingin meminta maaf kerana membuat pihak tertentu tersinggung dengan resipi yang saya hasilkan itu.

"Lagipun saya tidak jangka perkara ini akan berlaku dan cukup menyesal dengan kecaman yang diterima," katanya.

Terdahulu, rendang babi yang dijual Sergio disifatkan menghina lauk pauk masakan Padang yang sebelum ini tidak pernah menggunakan babi sebagai bahan utama dalam masakan.

Malah, rendang babi itu sebenarnya sudah tidak dijual sejak 2020 lagi tetapi secara tiba-tiba kembali tular di media sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram