KELUARGA P. Puvaaneshwaran akur dengan keadaan kematiannya selepas didakwa memandu bertentangan lalu lintas di Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) sehingga menyebabkan kemalangan maut yang turut mengorbankan tiga yang lain.
Memetik dari The Star, bapa saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai Nadarajan, 55, berkata, mereka dimaklumkan mengenai kematiannya kira-kira jam 10 pagi Sabtu (11 Jun 2022).
"Kami segera bergegas ke Hospital Shah Alam. Kami semua masih dalam keadaan terkejut," katanya ketika ditemui di rumah mayat hospital itu.
Beliau berkata, Puvaaneshwaran baru sahaja mula bekerja di MidValley dan tinggal di Kuchai Lama.
“Saya benar-benar tidak tahu apa yang dia lakukan dan berada jauh dari rumah.
"Inspektor polis memberitahu kami bahawa mereka mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia memandu di arah bertentangan," katanya.
Dia turut menyifatkan anak saudaranya yang berusia 28 tahun sebagai seorang lelaki yang bertanggungjawab dan berbudi bahasa.
Tiga lagi mangsa dalam kemalangan itu dikenali sebagai Lai Mun Fai, 28, Eng Siew Hooi, 31, dan Leong Man Yuen, 27.
Sementara itu, sepupu Puvaaneshwaran, Dhashen, 26, berkata, mendiang seorang pelajar straight A dan tidak pernah menghadapi masalah.
“Dia telah menerima anugerah kerana berjaya dalam peperiksaannya.
"Sukar untuk menerima kematiannya," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan tentang kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di susur keluar 104, Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) menghala Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor pada awal pagi Sabtu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan lima mangsa yang mana empat daripadanya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram