S P Setia rangkul dua anugerah emas FIABCI


  • Bizz
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Kai Wai berkata, pengiktirafan yang diterima oleh KLEC dan Setia Marina 2 adalah bukti kekuatan produk syarikat dalam memenuhi aspirasi pemilik rumah, pembeli hartanah dan masyarakat.

ENAM pemaju hartanah di Malaysia menggondol anugerah di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2022 yang diadakan pada 9 Jun lalu.

S P Setia Bhd meraih kemenangan terbesar kerana ia merupakan satu-satunya pemaju Malaysia yang memenangi dua anugerah emas pada acara itu.

Menerusi penambahan dua anugerah itu, S P Setia mengekalkan rekod sebagai pemaju Malaysia dengan anugerah emas terbanyak iaitu 15 secara keseluruhannya.

Projek yang memenangi anugerah itu ialah KL Eco City (KLEC), Kuala Lumpur,dan Setia Marina 2 dari Setia Eco Glades, Cyberjaya.

KLEC merangkul anugerah tertinggi dalam kategori pembangunan bercampur, manakala Setia Marina 2 merangkul anugerah emas dalam kategori kediaman (bertingkat rendah).

Sebagai rekod, KLEC dan Setia Marina 2 sebelum ini juga memenangi kategori pembangunan bercampur dan kediaman (bertingkat rendah) di Anugerah Hartanah FIABCI Malaysia 2021.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, pengiktirafan yang diterima oleh KLEC dan Setia Marina 2 adalah bukti kekuatan produk syarikat dalam memenuhi aspirasi pemilik rumah, pembeli hartanah dan masyarakat.

“Kami benar-benar berbesar hati kerana dinobatkan anugerah atas komitmen kami dalam pembangunan terancang secara teliti berdasarkan falsafah pembangunan LiveLearnWorkPlay dan usaha berterusan selaras dengan teras tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG).

“Memandangkan gaya hidup dan permintaan telah berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya selepas pandemik Covid-19, pembangunan hartanah kini bukan sahaja membina rumah yang menyokong gaya hidup mampan.

“Ia juga mengenai menaikkan semangat komuniti di dalam dan di luar pembangunan kami melalui kewujudan peluang perniagaan yang mampan,” kata Choong.

Sementara itu, YTL Land and Development Bhd memenangi anugerah emas di bawah kategori kediaman (bertingkat tinggi) untuk projek The Fennel di Sentul East.

Untuk anugerah perak, empat pemaju hartanah Malaysia diumumkan sebagai pemenang.

Gamuda Land memenangi anugerah perak di bawah kategori alam sekitar untuk projek Gamuda Gardens Central Park.

Syarikat induknya, Gamuda Bhd, memenangi satu lagi perak di bawah kategori resort untuk Batu Patung Eco Village.

Hap Seng Land Sdn Bhd merangkul anugerah perak di bawah kategori binaan khas bagi Wisma Mercedes-Benz miliknya.

Bagi kategori kediaman (bertingkat pertengahan), OSK Property Sdn Bhd memenangi anugerah perak untuk Kediaman Tepi Laut TimurBay di Kuantan.

WB Land Sdn Bhd memenangi kategori industri dengan Frontier Park.

Majlis anugerah itu diadakan sempena Kongres Hartanah Dunia FIABCI ke-72. Star Media Group Bhd ialah rakan media untuk FIABCI World Prix d'Excellence Awards 2022. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram