Dipinang kelab Eropah? Messi Thai pun belum dapat tempat, apatah lagi Arif Aiman


  • Podium
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Watak Arif Aiman dalam kem Harimau Malaya semestinya menjadi taruhan utama bagi baki dua lagi aksi bertemu Bahrain dan Bangladesh. — Facebook

BINTANG muda sensasi skuad Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi kini dianggap sebagai pemain muda paling berjaya negara apabila dia dipercayai menarik minat sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat (scout) yang berpangkalan di Sepanyol.

Walaupun Ariff Aiman sedang dipantau oleh pencari bakat dan ejen bola sepak serta dikhabarkan bakal 'dipinang' kelab dari luar negara, tetapi pengendali JDT, Benjamin Mora tampak enggan melepaskan pemain sayap kanan berusia 20 tahun itu.

Laman Facebook penyokong JDTFC menerusi satu hantaran status pada Sabtu berkata, Mora menegaskan secara peribadi beliau mahu Arif Aiman kekal bersama skuad Harimau Selatan.

Ini kerana katanya, pengalaman dan teknik permainan tonggak JDT itu masih belum mencukupi untuk didedahkan beraksi di luar negara selain usianya yang masih muda.

Rata-rata penyokong turut bersetuju dan sependapat dengan Mora kerana merasakan Arif masih memerlukan masa untuk mengemaskan corak permainan, tahap ketangkasan serta kepantasannya.

"Setuju dengan Mora, bagi dia masa lagi untuk kemaskan permainan, agresif dan kepantasannya. Arif Aiman masih muda dan banyak yang perlu diperbaiki.

"Di peringkat Asia nampak cukup permainannya, tapi untuk di kelab Eropah, mungkin belum cukup lagi," tulis Mohd Johan Joe di ruangan komen.

"Pandangan saya kalau setara pemain dari Thailand, Chanatip Songkrasin pun belum dapat tempat (di Eropah), apatah lagi Arif Aiman kan.

"Bukan nak rendahkan kemampuannya, cuma setuju dengan Mora," tulis Syakirin Asari.

Untuk rekod, Chanatip yang juga popular dengan gelaran Messi Thai kini bermain untuk kelab Kawasaki Frontale.

Shareyah Sulaiman juga merasakan Arif Aiman perlu perbaiki corak permainannya supaya lebih mantap dan bermutu.

"Jangan telalu awal untuk pergi melangkah kalau hanya akan membunuh pencapaian diri sendiri...padukan dulu corak serta skill permainan," katanya.

Arif Aiman melakukan debutnya bersama skuad utama JDT pada Mac 2020 ketika usia 17 tahun dan menjadi antara pemain muda yang beraksi bersama kelab terbaik di Malaysia.

Dia mula mendapat kepercayaan Mora hingga berjaya mengukuhkan tempatnya dalam kesebelasan utama selepas persembahan cemerlang pada minit terakhir perlawanan menentang Felda United menggantikan Nazmi Faiz Mansor.

Arif Aiman juga pernah memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram