TIGA ahli jawatankuasa kampung dibunuh oleh seorang lelaki yang didakwa menyimpan dendam terhadap mereka dalam kejadian di Loei, timur laut Thailand, berhampiran sempadan Laos.
Lelaki bersenjata itu, Pitakchai Chairaksuk, ditahan kerana menembak dan membunuh tiga ahli jawatankuasa kampung semasa mesyuarat di daerah Muang.
Suspek berusia 62 tahun itu ditangkap di pejabat pendakwaan wilayah selepas tembakan. Dia memiliki bom tangan dan pistol semasa ditahan.
Tembakan berlaku semasa ahli jawatankuasa menghadiri mesyuarat bulanan di pejabat di Ban Thung Nam Sai di daerah Muang, demikian lapor The Bangkok Post.
Pembunuh yang didakwa masuk ke mesyuarat itu, mengangkat tangannya untuk meminta maaf dan memberitahu orang lain yang tidak terlibat supaya beredar.
Pitakchai kemudian mengacukan pistol dan menembak mati tiga lelaki terbabit.
Mangsa dikenali sebagai ketua kampung, Sethanee Senasutthipan, 48 tahun, Saengthong Boonsuwan, 63 tahun, dan Chalor Putthawong, 58 tahun.
Polis percaya tembakan itu dicetuskan atas rasa tidak puas terhadap satu projek pasar lambak dan tuntutan undang-undang dalam kes tersebut.
Pitakchai dikatakan memfailkan saman, namun kalah dalam kes itu sekali gus dipercayai mendorongnya menyimpan dendam terhadap ketiga-tiga mangsa dan pendakwa raya dalam kes berkenaan.
Polis mendedahkan mereka sedang menyiasat jika terdapat kemungkinan motif lain di sebalik tembakan itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram