Dah setahun Brunei tanpa liga bola sepak — Ketua Jurulatih


  • Podium
  • Khamis, 26 Mei 2022

Rosanan tidak mahu mengulas lanjut tentang prestasi pasukan Malaysia yang dibimbing oleh jurulatih baharu iaitu Pan-gon. — Facebook FAM

KESAN daripada pandemik Covid-19 pasukan kebangsaan Brunei Darussalam tidak dapat melakukan persediaan yang rapi bertemu pasukan bimbingan Kim Pan-gon di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Jumaat.

Skuad kebangsaan Brunei tidak melakukan sebarang penampilan dalam mana-mana kejohanan sejak 2019 akibat berlakunya pandemik Covid-19 dan sekatan daripada pihak kerajaan.

Bekas jurulatih kebangsaan, K. Rajagopal pernah membimbing pasukan Brunei pada 2020 sehingga awal tahun ini sebelum meletakkan jawatan akibat pasukan tersebut tidak mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

Difahamkan pasukan yang menduduki tangga 191 dunia baru sahaja melakukan persiapan bagi perlawanan menentang Malaysia pada Jumaat kerana kem pasukan Brunei menghadapi sedikit masalah apabila ketua pasukan mereka dijangkiti Covid-19.

Dalam sidang media perlawanan menjelang pertemuan Malaysia bertemu Brunei, Ketua Jurulatih Kebangsaan Brunei, Rosanan Samak berkata, persiapan bertemu pasukan Malaysia sangat terhad apabila pasukannya tidak dapat mengadakan sebarang perlawanan.

FAM 2

Perlawanan bertemu Malaysia merupakan perlawanan kedua buat pasukan Brunei selepas bertemu Laos pada bulan Mac. — Facebook FAM

"Untuk bertemu pasukan seperti Malaysia, kita harus melakukan satu atau dua perlawanan pemanas badan supaya para pemain dapat menyiapkan diri mereka dalam perlawanan berintensiti tinggi.

"Persiapan pasukan kami turut terjejas apabila ketua pasukan kami telah dijangkiti Covid-19 sehingga beliau terpaksa tidak ikut menyertai pasukan dalam perlawanan menentang Malaysia esok (Jumaat)," katanya.

Tambahnya lagi, di Brunei pihak kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti bola sepak dijalankan semasa penularan Covid-19 dan ini menghalang pemain untuk terus beraksi secara kompetitif selama setahun.

"Dekat Brunei, liga tidak berjalan selama setahun, ini menyebabkan pasukan kebangsaan sedikit terjejas kerana para pemain tidak bermain secara aktif dan hanya melakukan latihan sahaja.

"Selama setahun juga kami tidak melakukan sebarang penampilan antarabangsa, ini merupakan perlawanan kedua buat kami selepas bertemu Laos pada bulan Mac dengan keputusan berpihak kepada pasukan Laos," ujarnya.

Apabila ditanya pihak media tentang pasukan Malaysia, Rosanan tidak mahu mengulas lanjut tentang prestasi pasukan Malaysia yang dibimbing oleh jurulatih baharu iaitu Pan-gon.

Kali terakhir skuad kebangsaan bertemu pasukan Brunei pada tahun 2001 dengan menyaksikan pasukan Malaysia menang dengan jaringan 5-0 di dalam Sukan SEA 2001 sekali gus melengkapkan 13 kali kemenangan negara ke atas pasukan jiran itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram