SKUAD bawah 23 (B-23) tahun negara sedia membuka pintu kepada mana-mana pemain khususnya bintang muda dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuatkan lagi skuad Harimau Muda menjelang kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan bulan hadapan.
Pengendalinya, Brad Maloney sentiasa mengalu-alukan pintu kedatangan pemain berkenaan namun ia bergantung kepada kesediaan mereka untuk bersama pasukan itu tatkala beliau juga sudah berpuas hati dengan skuad yang ada ketika ini.
“Kita sentiasa melihat pemain terbaik yang tersedia ketika ini dan pintu sentiasa terbuka untuk pemain baharu. Kita akan buat keputusan sebelum kita berangkat (ke Uzbekistan) Jumaat ini.
“Jika pemain itu tersedia pintu sentiasa terbuka. Bagaimanapun pemain yang ada ketika ini juga sebenarnya sudah bersama pasukan agak lama, dan telah berusaha sepanjang persiapan sebelum ini dan berhak diberi peluang.
“Tapi jika ada pemain lain yang hebat dan mampu untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan apa salahnya untuk pertimbangkan,” katanya.
Antara pemain yang dilihat boleh membantu pasukan kendalian Brad Maloney di saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada bulan depan adalah tonggak tengah JDT, Nathaniel Shio Hong Wan serta Muhammad Ramadhan Saifullah.
Sudah pasti kehadiran Hong Wan yang juga bekas pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Wolverhampton Wanderers mampu memperkuatkan jentera tengah negara selain kelincahan Ramadhan di bahagian sayap dilihat mampu memberi nilai tambah kepada pasukan Maloney ketika ini.
Dalam pada itu, Maloney turut mengesahkan bahawa pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine, tidak akan bersama skuad B-23 yang akan ke Uzbekistan selepas berhadapan masalah dokumentasi.
“Nooa menunjukkan prestasi yang baik dalam latihan sebelum ini, tetapi kita masih lagi perlu menanti dokumentasi seperti pasport yang mengambil masa lama. Kami terpaksa pergi tanpa khidmatnya," ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram