Pelajar sekolah maut motosikal langgar lori di Seremban


  • 112
  • Khamis, 26 Mei 2022

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SEORANG pelajar lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang empat lampu isyarat Jalan Tunku Kursiah, di Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kemalangan pada 8.45 pagi itu menyebabkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Mohd Redza itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda RS150 ditunggang mangsa dari arah Seremban menuju ke Sikamat telah melanggar lampu isyarat berwarna merah lalu melanggar bahagian kanan lori jenis Isuzu yang datang dari arah simpang kiri mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram